MyKitabSuci

Lukas

1

Pendahuluan

1Kepada yang dihormati Teofilus,

Ramai orang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatat peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di kalangan kita2sebagaimana yang diberitahu kepada kita oleh saksi-saksi pertama peristiwa ini yang juga merupakan pemberita Firman.3Oleh sebab aku telah mengkaji perkara-perkara ini dari mulanya, aku berfikir eloklah aku mengarang cerita-Nya dengan teratur untuk tuan Teofilus.4Aku berbuat demikian supaya tuan akan mengetahui kebenaran yang sepenuhnya tentang perkara-perkara yang telah diajarkan kepada tuan.

Pemberitahuan tentang kelahiran Yahya Pengimad

5Pada zaman Herodes, raja negeri Yudea, ada seorang imam yang bernama Zakaria. Dia terdiri daripada golongan Abia. Isterinya, Ashba, juga daripada keturunan Harun.6Kedua-duanya orang yang lurus di hadapan Allah, dan mengikut segala perintah serta hukum Tuhan dengan sepenuhnya.7Tetapi mereka tidak mempunyai anak kerana Ashba mandul, dan kedua-duanya pun telah lanjut usia.

8Pada suatu hari Zakaria melaksanakan tugasnya sebagai imam di hadapan Allah menurut gilirannya bertugas.9Mengikut peraturan keimaman, dia diundi masuk ke dalam rumah ibadat Tuhan untuk membakar kemenyan.10Orang ramai berhimpun di luar untuk beribadat sewaktu kemenyan dibakar.

11Kelihatanlah kepada Zakaria, malaikat Tuhan berdiri di sebelah kanan tempat pembakar kemenyan itu.12Hati Zakaria berdebar apabila melihatnya dan dia berasa amat takut.13Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, ‘Janganlah takut, hai Zakaria, kerana permohonanmu telah dikabulkan. Isterimu Ashba akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Kamu hendaklah menamainya Yahya.14Kamu akan bergembira dan bersukacita apabila dia dilahirkan. Begitu juga ramai orang lain15kerana dia akan menjadi mulia di sisi Tuhan. Dia tidak akan minum air anggur atau minuman keras kerana dia akan dipenuhi dengan Roh Suci sejak dari rahim ibunya.16Dia akan mengembalikan ramai orang Israel kepada Allah, Tuhan mereka,17dan dia akan melangkah di hadapan Tuhan dengan roh dan kuasa Ilyas untuk mendamaikan bapa dengan anak dan mengembalikan orang ingkar ke jalan orang benar, supaya menyediakan suatu kaum yang bersiap sedia bagi Tuhan.’

18Zakaria berkata kepada malaikat itu, ‘Bagaimanakah aku dapat mengetahui perkara ini akan berlaku? Aku telah tua dan isteriku pun telah lanjut usianya.’

19Malaikat itu menjawab lagi, ‘Akulah Jibrail yang berdiri di hadirat Allah. Aku telah diutuskan untuk menyampaikan perkhabaran yang baik ini kepadamu.20Ingatlah: oleh sebab engkau tidak mempercayai kata-kataku ini yang akan berlaku pada masanya, engkau akan menjadi bisu dan tidak dapat bertutur hingga pada hari semua perkara ini berlaku.’

21Sementara itu, orang yang berhimpun itu ternanti-nanti akan Zakaria; mereka sangat hairan kerana dia begitu lama di dalam rumah ibadat.22Apabila dia keluar, dia tidak dapat bertutur kepada mereka. Lalu mereka menyedari Zakaria telah nampak sesuatu di dalam rumah ibadat. Oleh sebab dia tidak dapat bertutur, dia menggunakan isyarat dengan tangannya.

23Setelah tamat masa perkhidmatannya, Zakaria kembali ke rumahnya.24Kemudian, Ashba, isterinya pun hamil lalu dia tidak meninggalkan rumahnya selama lima bulan. Dia berkata,25‘Akhirnya, Tuhan telah menolongku. Dia menghapuskan aibku di kalangan masyarakat.’

Pemberitahuan tentang kelahiran Isa

26Dalam bulan yang keenam, malaikat Jibrail diutus Allah ke Nasaret, sebuah kota di jajahan Galilea,27kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maryam.28Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, ‘Salam kepadamu yang amat diredai Allah! Tuhan bersamamu!’

29Hati Maryam runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut.30Seterusnya, malaikat itu berkata kepadanya, ‘Janganlah takut, hai Maryam, kerana engkau telah diredai Allah.31Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Isa.32Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Putera Allah Yang Maha Tinggi. Allah, Tuhan kita akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya.33Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaannya berkekalan.’

34Lalu Maryam berkata kepada malaikat itu, ‘Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?’

35Malaikat itu menjawab, “Roh Suci akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Putera Allah.36Tambahan pula, saudaramu Ashba yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua.37Sebab bagi Allah tidak ada yang mustahil.

38Maryam berkata, ‘Aku ini hamba Tuhan. Jadilah kepada aku mengikut kata-katamu itu.’ Lalu malaikat pun meninggalkannya.

Maryam melawat Ashba

39Setelah itu, Maryam bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yudea.40Dia masuk ke dalam rumah Zakaria dan memberi salam kepada Ashba.41Apabila Ashba mendengar salam Maryam, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Ashba dipenuhi Roh Suci.42Dia berseru, ‘Diberkati engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu.43Siapakah aku ini sehingga ibu Junjunganku datang kepadaku?44Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan.45Diberkatilah kamu kerana mempercayai apa yang dikatakan kepadamu daripada Tuhan akan berlaku!’

Nyanyian pujian Maryam

46Maryam berkata,

‘Jiwaku meninggikan Tuhan;

47rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku,

48kerana Dia mengingati hamba-Nya yang hina ini.

Dari sekarang hingga selama-lamanya,

orang akan berkata aku diberkati,

49kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar

untuk aku.

Sucilah Nama-Nya.

50Dia memberkati mereka yang

takut akan Dia,

daripada satu keturunan kepada satu keturunan yang lain.

51Dia telah menunjukkan kekuatan

tangan-Nya;

Dia telah mencerai-beraikan mereka yang berhati bongkak.

52Dia telah menurunkan raja-raja daripada takhta mereka

dan mengangkat tinggi orang yang hina;

53Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik,

tetapi orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong.

54Dia menolong bangsa Israel, hamba-Nya

kerana Dia ingat akan belas kasihan-Nya

55yang dijanjikan kepada nenek moyang kita

dan semua keturunannya untuk selama-lamanya.’

56Maryam tinggal bersama Ashba selama tiga bulan. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya.

Kelahiran Yahya Pengimad

57Tibalah masanya untuk Ashba bersalin dan dia melahirkan seorang anak lelaki.58Apabila jiran tetangga dan saudara-maranya mendengar bahawa Tuhan telah melimpahkan berkat kepadanya, mereka turut bergembira bersamanya.

59Pada hari yang kelapan, mereka datang untuk menyunatkan bayi itu. Mereka mahu menamainya Zakaria seperti nama bapanya.60Tetapi ibunya berkata, ‘Tidak! Namanya ialah Yahya.’

61Mereka berkata kepada Ashba, ‘Tiada seorang pun daripada kaum keluargamu yang bernama sedemikian.’

62Lalu mereka bertanya kepada bapanya dengan menggunakan isyarat nama yang hendak diberikan kepada anaknya itu.63Dia meminta papan tulis lalu menulis demikian, ‘Namanya Yahya.’ Semuanya kehairanan.64Pada ketika itu juga, Zakaria dapat bercakap dan dia memuji Allah.65Semua jirannya sangat takut dan segala perkara ini tersebar ke seluruh jajahan Yudea.66Semua orang yang mendengarnya berkata dalam hati masing-masing, ‘Bagaimanakah gerangan halnya anak ini kelak?’ Jelaslah bahawa tangan Tuhan memimpin-Nya.

Nubuat Zakaria

67Bapanya, Zakaria, dipenuhi dengan Roh Suci lalu berkata,

68‘Segala puji bagi Allah, Tuhan bangsa Israel!

Kerana Dia telah datang dan menebus umat-Nya;

69Dia telah mengurniai kita seorang Penyelamat yang berkuasa,

seorang daripada keturunan hamba-Nya, Daud.

70Demikianlah firman-Nya dengan perantaraan nabi-nabi-Nya yang suci

dari zaman dahulu kala,

71Dia berjanji menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita,

dan daripada tangan semua orang yang membenci kita;

72Dia mengasihani nenek moyang kita,

dan mengingati perjanjian-Nya yang suci,

73Dia berjanji kepada nenek moyang kita,

Ibrahim,

74untuk menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita

supaya tanpa rasa takut kita beribadat kepada-Nya

75dalam kesucian dan kebenaran

sepanjang hidup kita.

76Engkau, anakku, akan digelar nabi Allah Yang Maha Tinggi

kerana engkau mendahului Tuhan demi menyediakan jalan-Nya,

77dan memberitahu umat-Nya bahawa mereka diselamatkan

apabila dosa mereka diampunkan.

78Oleh sebab Allah, Tuhan kita

mengasihani kita,

cahaya matahari akan terbit

79untuk menerangi orang yang tinggal

dalam kegelapan dan bayang maut,

serta memimpin kita ke jalan damai.’

80Anak itu membesar dan bertambah kuat dari segi kerohaniannya. Dia tinggal di gurun sehinggalah dia muncul di khalayak bangsa Israel.

2

Kelahiran Isa

1Pada masa itu Kaisar Augustus menitahkan penduduk di seluruh kerajaan Rom dibanci.2Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria.3Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri.

4Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nasaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Baitlahim di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud.5Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maryam, tunangnya yang sedang hamil.6Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin.7Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan.

Gembala dan malaikat

8Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka.9Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan.10Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, ‘Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat.11Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu al-Masih, Junjungan itu.12Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.’

13Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan besar dari syurga yang memuji-muji Allah:

14‘Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan

pada hati-Nya.’

15Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, ‘Marilah kita pergi ke Baitlahim untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.’

16Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maryam dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung.17Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu.18Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka;19tetapi Maryam mengingati segala perkara ini dan merenunginya.20Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka.

Isa dipersembahkan di rumah ibadat

21Lapan hari kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan bayi itu, lalu Dia diberikan nama Isa, seperti yang dikatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maryam.

22Setelah tamat masa penyucian mengikut hukum Taurat Musa, mereka pun membawa Isa ke Baitulmaqdis untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan.23Tersurat dalam Hukum Tuhan bahawa setiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan.24Mereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati.

25Pada masa itu ada seorang yang bernama Simeon di Baitulmaqdis. Dia seorang yang benar dan bertakwa kepada Allah, dan Roh Suci bersertanya.26Roh Suci telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat al-Masih yang dijanjikan oleh Tuhan.27Atas pimpinan Roh dia masuk ke dalam rumah ibadat. Ketika Isa, anak itu, dibawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu,28Simeon mendukung Dia dan bersyukur kepada Allah lalu berkata:

29‘Ya Tuhan, sekarang biarlah hamba-Mu pergi dengan sejahtera,

menurut firman-Mu:

30kerana mataku telah melihat penyelamatan-Mu

31yang telah Kausediakan di hadapan segala bangsa,

32satu cahaya yang akan menunjukkan jalan

kepada bangsa-bangsa asing

dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel.’

33Ibu bapa-Nya kagum mendengar apa yang dikatakan tentang anak itu.34Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maryam, ibu anak itu, ‘Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan ramai orang Israel kelak; Dia menjadi tanda daripada Allah yang akan dibantahi orang35supaya fikiran dalam hati mereka didedahkan. Dan jiwamu sendiri akan ditusuk oleh pedang.’

36Ada pula seorang nabiah yang bernama Hana binti Fanuel, daripada suku Asyer. Dia telah lanjut usianya. Dia berkahwin selama tujuh tahun37dan menjadi balu selama lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan rumah ibadat, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam.38Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu berkata tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan pembebasan bagi Baitulmaqdis.

39Setelah ibu bapa-Nya menunaikan segala yang wajib menurut Hukum Tuhan, mereka pulang ke kota Nasaret, kota tempat tinggal mereka di Galilea.40Anak itu semakin membesar dan bertambah kuat serta penuh dengan kebijaksanaan. Kasih kurnia Tuhan ada pada-Nya.

Isa di rumah ibadat

41Tiap-tiap tahun ibu bapa-Nya pergi ke Baitulmaqdis untuk menyambut perayaan Paska.42Ketika Isa berusia dua belas tahun, mereka pergi menghadiri perayaan itu seperti biasa.43Setelah tamat perayaan itu, mereka pun berangkat pulang; tetapi Isa, anak mereka itu tertinggal di Baitulmaqdis dan ibu bapa-Nya tidak menyedari hal itu.44Mereka menyangka Dia ada bersama teman-teman seperjalanan. Oleh itu mereka berjalan sepanjang hari sebelum mereka mencari-cari Isa di kalangan kaum keluarga dan kenalan mereka.45Apabila mereka tidak menjumpai-Nya, mereka kembali ke Baitulmaqdis untuk mencari-Nya.46Selepas tiga hari, mereka akhirnya menemui Isa di dalam rumah ibadat. Dia duduk dikelilingi oleh guru-guru Taurat sambil mendengar pengajaran mereka dan menanya soalan.47Semua orang yang mendengar Isa kagum akan pengertian dan jawapan-Nya.48Ketika ibu bapa-Nya melihat-Nya, mereka juga kagum lalu ibu-Nya berkata, ‘Anakku, mengapakah Engkau berbuat demikian terhadap kami? Ibu dan ayah begitu bimbang mencari-Mu.’

49Lalu Isa menjawab, ‘Mengapakah ibu dan ayah mencari Aku? Tidakkah ibu dan ayah mengetahui Aku harus melakukan kerja Bapa-Ku?’50Tetapi mereka tidak memahami apa yang dikatakan-Nya kepada mereka.

51Kemudian Dia pulang bersama mereka ke Nasaret. Dia taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan segala perkara ini dalam hatinya.52Isa semakin membesar dan bijaksana. Dia diredai oleh Allah dan manusia.

3

Khutbah Yahya Pengimad

1Pada tahun yang kelima belas pemerintahan Kaisar Tiberius, Pontius Pilatus menjadi gabenor negeri Yudea, Herodes menjadi raja negeri Galilea dan saudaranya Filipus menjadi raja di wilayah Iturea dan Trakhonitis, Lisanias menjadi raja Abilene2dan Hanas serta Kayafas menjadi imam agung. Pada masa ini, firman Allah disampaikan kepada Yahya anak Zakaria di gurun.3Lalu Yahya pergi ke seluruh daerah Sungai Yordan mengkhabarkan suatu pengimadan sebagai tanda pertaubatan yang membawa pengampunan dosa,4seperti yang tersurat dalam kitab Nabi Yasyaya:

‘Suara seorang yang berseru di gurun,

“Sediakanlah jalan untuk Tuhan,

luruskanlah jalan untuk-Nya.

5Setiap lembah akan ditambak

dan setiap gunung serta bukit akan diratakan.

Tempat bengkang-bengkok akan diluruskan

dan jalan lekak-lekuk akan dilicinkan.

6Semua manusia akan melihat penyelamatan

yang dikurniakan oleh Allah.” ’

7Yahya berkata kepada orang ramai yang berkerumun untuk diimadkannya, ‘Hai, kamu seperti ular berbisa, siapakah yang telah memberimu amaran supaya melarikan diri daripada kemurkaan Allah yang akan datang?8Kamu hendaklah membuktikan pertaubatanmu dengan perbuatan yang baik, dan jangan mula berkata sesama sendiri, ‘Ibrahim bapa kita’, kerana aku berkata kepadamu bahawa Allah berkuasa menjadikan anak-anak bagi Ibrahim daripada batu-batu ini.9Kapak telah sedia terletak pada akar pokok kayu. Jadi, setiap pokok kayu yang tidak mengeluarkan buah yang baik akan ditebang dan dibuangkan ke dalam api.’

10Orang ramai itu bertanya kepada Yahya, ‘Jadi, apa yang harus kami buat?’

11Dia menjawab, ‘Sesiapa yang mempunyai dua helai baju hendaklah memberi kepada orang yang tidak mempunyai baju, dan sesiapa yang mempunyai makanan hendaklah berkongsi dengan orang yang memerlukannya.’

12Ada pemungut cukai datang untuk diimadkan lalu bertanya kepada Yahya, ‘Tuan Guru, apa yang harus kami buat?’

13Yahya berkata kepada mereka, ‘Jangan suruh orang membayar lebih daripada apa yang ditetapkan.’

14Ada askar bertanya kepadanya, ‘Bagaimanakah dengan kami? Apa yang harus kami buat?’

Yahya berkata kepada mereka, ‘Jangan aniayai orang dan jangan rampas harta benda atau ajukan tuduhan palsu. Berpuas hatilah dengan gajimu.’

15Orang ramai menanti-nanti dengan penuh harapan dan mereka tertanya-tanya dalam hati tentang Yahya kalau-kalau dialah al-Masih itu.16Yahya berkata kepada mereka, ‘Aku ini mengimadkan kamu dengan air tetapi seorang yang lebih berkuasa daripadaku akan datang. Aku ini tidak layak walaupun untuk mengurai tali kasut-Nya. Dialah yang akan mengimadkan kamu dengan Roh Suci dan api.17Nyiru ada di dalam tangan-Nya untuk menampi bijirin dan mengumpulkannya di dalam rengkiang tetapi sekam akan dibakar-Nya dalam api yang tidak dapat dipadamkan.’18Yahya menasihati orang dengan pelbagai cara serta memberitakan Injil kepada mereka.

19Dia telah menegur Raja Herodes tentang perkahwinannya dengan Herodias, isteri saudaranya, dan tentang segala kejahatan yang dilakukannya.20Kemudian, Raja Herodes melakukan dosa yang lebih dahsyat dengan memenjarakan Yahya.

Pengimadan Isa

21Ketika semua orang diimadkan, Isa pula diimadkan. Ketika Dia berdoa, langit terbuka,22Roh Suci bagai burung merpati turun ke atas-Nya. Kedengaran satu suara dari langit yang berkata, ‘Engkaulah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan.’

Nenek moyang Isa

23Isa berusia lebih kurang tiga puluh tahun pada masa Dia memulakan pelayanan-Nya. Pada sangkaan orang, Dia anak kepada Yusuf, anak Eli,

24anak Matat,

anak Lewi, anak Malkhi,

anak Yanai, anak Yusuf,

25anak Matica, anak Amush,

anak Nahum, anak Hesli,

anak Nagai,26anak Maat,

anak Matica, anak Simei,

anak Yosekh, anak Yoda,

27anak Yohanan, anak Resa,

anak Zerubabel, anak Sealtiel,

anak Neri,28anak Malkhi,

anak Adi, anak Kosam,

anak Elmadam, anak Er,

29anak Yesua, anak Eliezer,

anak Yorim, anak Matat,

anak Lewi,30anak Simeon,

anak Yuda, anak Yusuf,

anak Yonam, anak Elyakim,

31anak Melea, anak Mina,

anak Matata, anak Natan,

anak Daud,32anak Isai,

anak Obed, anak Boas,

anak Salmon, anak Nahason,

33anak Aminadab, anak Admin, anak Arni,

anak Hezron, anak Peres,

anak Yuda,34anak Yakub,

anak Ishak, anak Ibrahim,

anak Terah, anak Nahor,

35anak Serug, anak Rehu,

anak Peleg, anak Eber,

anak Selah,36anak Kenan,

anak Arpakhsad, anak Sem,

anak Nuh, anak Lemekh,

37anak Metuselah, anak Henokh

(juga disebut Idris),

anak Yared, anak Mahalaleel,

anak Kenan,38anak Enos,

anak Set, anak Adam,

anak Allah.

4

Isa digoda

1Isa penuh dengan Roh Suci, kembali dari daerah Yordan dan dipimpin oleh Roh ke padang gurun.2Selama empat puluh hari, Dia digoda oleh Iblis. Sepanjang masa itu, Dia tidak makan apa-apa. Akhirnya, Dia berasa lapar.

3Lalu Iblis berkata kepada-Nya, ‘Jikalau Engkau Putera Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti.’

4Isa menjawab, ‘Dalam Kitab Suci tersurat, “Manusia hidup bukan dari roti sahaja, tetapi dari setiap firman Allah.” ’

5Iblis membawa Isa ke satu tempat yang tinggi lalu dalam sekelip mata, Iblis memperlihatkan kepada Isa segala kerajaan di dunia.6Iblis berkata, ‘Aku akan memberikan segala kekuasaan ini dengan kemuliaannya kepada-Mu kerana semuanya itu telah diserahkan kepadaku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa jua yang aku suka.7Jadi, jikalau Engkau menyembah aku, keseluruhannya akan menjadi kepunyaan-Mu.’

8Tetapi Isa menjawab, ‘Dalam Kitab Suci tersurat, “Hendaklah engkau menyembah Allah, Tuhanmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.” ’

9Kemudian, Iblis membawa Isa ke Baitulmaqdis lalu menempatkan-Nya di atas mercu rumah ibadat dan berkata kepada-Nya, ‘Jikalau Engkau Putera Allah, terjunlah ke bawah,10kerana dalam Kitab Suci ada tersurat,

‘ “Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya

untuk melindungi-Mu

11dan mereka akan menatang-Mu dengan tangan mereka

supaya kaki-Mu tidak terantuk pada batu.” ’

12Tetapi Isa menjawab, ‘Kitab Suci juga mengatakan, “Janganlah engkau menduga Allah, Tuhanmu.” ’13Setelah Iblis selesai menggoda Isa, dia meninggalkan-Nya untuk sementara waktu.

Isa memulakan kerja-Nya di Galilea

14Isa kembali ke Galilea dan kuasa Roh menyertai-Nya. Perkhabaran tentang-Nya tersebar ke seluruh daerah itu.15Dia mengajar di saumaah-saumaah mereka dan semua orang memuji-muji-Nya.

Isa tidak diterima di Nasaret

16Kemudian, Isa kembali ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat Dia pergi ke saumaah seperti kebiasaan-Nya. Lalu Dia berdiri untuk membaca Kitab Suci.17Kitab Nabi Yasyaya diberikan kepada Isa dan Dia membuka kitab itu untuk membaca ayat yang tersurat:

18‘Roh Tuhan ada pada-Ku

kerana Dia telah memilih Aku

untuk memberitakan perkhabaran yang baik kepada orang miskin;

Dia telah mengutus Aku untuk mengumumkan pelepasan kepada

orang tawanan,

penyembuhan kepada orang buta,

pembebasan orang yang tertindas,

19dan mengisytiharkan tibanya masa yang Tuhan berkenan!’

20Isa menutup kitab itu dan memulangkannya kepada petugas lalu duduk. Mata semua orang di dalam saumaah itu tertumpu kepada-Nya.21Isa mula berucap kepada mereka, ‘Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah ditepati ketika kamu mendengarnya.’

22Semua orang memperkatakan-Nya dan kagum akan kata-kata indah yang diucapkan-Nya. Mereka berkata, ‘Bukankah Dia anak Yusuf?’

23Isa berkata kepada mereka, ‘Sudah tentunya kamu akan menyebut bidalan ini kepada-Ku, “Tuan tabib, ubati dirimu! Buatlah di kota-Mu sendiri apa yang kami dengar Kaubuat di Kapernaum.” ’

24Isa menambah, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri.25Dengarlah, sesungguhnya terdapat ramai balu di negeri Israel pada zaman Nabi Ilyas tatkala langit tertutup tidak menurunkan hujan selama tiga tahun enam bulan, menyebabkan bencana kebuluran di seluruh negeri itu.26Tetapi Nabi Ilyas tidak diutus kepada seorang jua pun kecuali seorang balu di bandar Sarafat di Sidon.27Demikian juga, ada ramai orang yang berpenyakit kusta di Israel pada zaman Nabi Ilyasa tetapi tiada seorang pun antara mereka yang disembuhkan melainkan Naaman, orang Siria.’

28Semua orang di dalam saumaah yang mendengar kata-kata ini naik berang.29Mereka bangun lalu mengusir Isa dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah.30Tetapi Isa berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ.

Orang yang dirasuk oleh roh iblis

31Kemudian Isa pergi ke kota Kapernaum di jajahan Galilea dan di situlah Dia mengajar orang pada hari Sabat.32Mereka kagum mendengar ajaran-Nya kerana kata-kata-Nya berwibawa.

33Di dalam saumaah itu ada seorang yang dirasuk oleh roh iblis yang durjana. Dia menjerit dengan nyaring,34‘Ah, mengapakah Engkau mengganggu kami, Isa, orang Nasaret? Engkau datang untuk membinasakan kamikah? Aku mengetahui siapa Engkau ini — Engkaulah Yang Suci daripada Allah.’

35Isa memarahi roh iblis itu, ‘Diam! Keluar daripada dia!’ Roh iblis itu menghempaskan orang itu di hadapan mereka lalu keluar daripadanya tanpa mencederakannya.

36Mereka semua kehairanan dan berkata sesama sendiri, ‘Betapa hebat kata-kata-Nya! Dengan penuh kewibawaan dan kuasa Dia memerintah roh-roh durjana itu, mereka terus keluar.’37Maka perkhabaran tentang Isa tersebar ke seluruh daerah itu.

Isa menyembuhkan beberapa orang

38Isa keluar dari saumaah itu lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mertua Simon sedang demam panas dan mereka memberitahu Isa tentangnya.39Isa pergi berdiri di tepi katilnya dan mengusir demam itu. Ibu mertua Simon pulih dengan serta-merta lalu bangun dan melayani mereka.

40Pada waktu senja semua orang yang mengidap berbagai-bagai penyakit dibawa kepada Isa. Dia meletakkan tangan-Nya pada setiap orang dan menyembuhkan mereka.41Roh-roh iblis juga keluar daripada ramai orang dan berteriak, ‘Engkaulah Putera Allah.’ Isa memarahi roh-roh iblis itu dan tidak mengizinkan mereka bercakap kerana mereka mengetahui Dialah al-Masih.

Isa mengkhabar Injil di Yudea

42Ketika fajar menyingsing, Isa meninggalkan kota itu dan pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia, dan apabila mereka menemui-Nya, mereka cuba menahan-Nya daripada meninggalkan mereka.43Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Aku harus memberitakan perkhabaran yang baik tentang kerajaan Allah di kota-kota lain juga. Itulah sebabnya Aku diutuskan.’44Jadi, Dia mengkhabarkan Injil di saumaah-saumaah di Yudea.

5

Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya yang pertama

1Pada suatu hari semasa Isa berdiri di tepi pantai tasik Genesaret, ramai orang berasak-asak mengerumuni-Nya untuk mendengar firman Allah.2Dia melihat dua buah perahu di situ. Para nelayan yang menangkap ikan telah turun dari perahu itu untuk membasuh jala mereka.3Isa naik ke dalam salah sebuah perahu, iaitu perahu Simon dan memintanya menolak perahu itu jauh sedikit dari pantai. Isa duduk dan mengajar orang ramai dari perahu itu.

4Setelah Dia habis mengajar, Dia berkata kepada Simon, ‘Tolaklah perahu ke air yang dalam dan tebarkan jalamu untuk menangkap ikan.’

5Simon menjawab, ‘Tuan, semalaman kami cuba sedaya upaya tetapi tidak dapat menangkap apa-apapun. Tetapi, kerana Engkau menyuruh, aku akan menebarkan jala.’

6Setelah menebarkan jala, mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga jala hampir terkoyak.7Mereka memanggil rakan-rakan dari perahu lain supaya datang menolong. Mereka datang lalu memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu-perahu itu hampir tenggelam.

8Apabila Simon Petrus melihat apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Isa dan berkata, ‘Tinggalkan hamba, Ya Junjungan kerana hamba seorang yang berdosa!’9Simon dan semua orang yang bersamanya takjub melihat begitu banyak ikan yang dapat ditangkap mereka.10Begitu juga Yakobus dan Yahya, anak-anak Zebedeus, rakan-rakan Simon.

Isa berkata kepada Simon, ‘Jangan takut! Mulai sekarang, engkau akan menjala manusia!’11Setelah mereka menyadaikan perahu-perahu itu, mereka meninggalkan semuanya lalu mengikut Isa.

Isa menyembuhkan seorang yang berpenyakit kusta

12Pada suatu hari Isa berada di sebuah bandar. Terdapat seorang yang berpenyakit kusta. Apabila dia melihat Isa, dia meniarap lalu memohon kepada-Nya, ‘Tuan, jikalau Tuan mahu, Tuan berkuasa untuk mentahirkan aku.’

13Lalu Isa pun menghulurkan tangan dan menyentuhnya sambil berkata, ‘Aku mahu. Tahirlah engkau!’ Seketika itu juga, penyakit kustanya hilang.

14Isa berpesan kepadanya, ‘Jangan beritahu hal ini kepada sesiapapun tetapi pergi tunjukkan dirimu kepada imam dan persembahkan suatu korban kerana pentahiranmu, seperti yang ditetapkan oleh Musa untuk membuktikan kepada semua orang bahawa engkau kini sudah tahir.’

15Akan tetapi, berita tentang Isa tersebar lebih meluas dan ramai orang datang untuk mendengar ajaran-Nya serta memohon-Nya menyembuhkan penyakit mereka.16Tetapi Isa kerapkali mengasingkan diri ke tempat yang sunyi untuk berdoa.

Isa menyembuhkan seorang yang lumpuh

17Pada suatu hari ketika Isa mengajar orang, ada beberapa orang Farisi dan ahli Taurat duduk di situ. Mereka telah datang dari setiap bandar di Galilea dan Yudea dan juga dari Baitulmaqdis. Kuasa Allah ada pada Isa untuk menyembuhkan orang.18Beberapa orang mengusung seorang yang lumpuh dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah untuk meletakkannya di hadapan Isa.19Oleh sebab mereka tidak dapat membawanya masuk kerana orang bersesak-sesak, mereka naik ke atas bumbung rumah lalu membuka genting supaya dapat menurunkan orang itu dengan tikarnya di tengah-tengah orang ramai di hadapan Isa.

20Apabila Isa melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Saudara, dosa-dosamu diampunkan.’

21Guru-guru Taurat dan orang Farisi mula berkata sesama diri, ‘Siapakah orang ini yang mengkufuri Allah? Siapakah yang dapat mengampunkan dosa kecuali Allah sahaja?’

22Tetapi Isa mengetahui fikiran mereka, lalu berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu memikirkan perkara sedemikian?23Yang manakah lebih mudah: mengatakan, “Dosa-dosamu diampunkan,” atau “Bangunlah dan berjalan”?24Tetapi, supaya kamu ketahui bahawa Putera Insan berkuasa di bumi ini untuk mengampunkan dosa...’ Lalu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkat tikarmu dan berjalan pulang ke rumah!’25Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar tempat dia berbaring tadi lalu pulang sambil memuji Allah.26Semua orang tercengang-cengang dan memuji Allah. Mereka dipenuhi dengan perasaan takjub sambil berkata, ‘Pada hari ini kami telah menyaksikan hal yang ajaib!’

Isa memanggil Lewi

27Kemudian Isa keluar dan nampak seorang pemungut cukai yang bernama Lewi sedang duduk di tempat kutipan cukai. Isa berkata kepadanya, ‘Ikutlah Aku!’28Lewi bangun, meninggalkan semuanya dan mengikut Isa.

29Lewi menyediakan satu jamuan besar untuk Isa di rumahnya. Ada ramai pemungut cukai dan orang lain yang turut duduk bersama mereka.30Orang Farisi dan guru-guru Taurat yang semazhab bersungut-sungut kepada pengikut-pengikut Isa, ‘Mengapakah kamu makan dan minum bersama pemungut-pemungut cukai dan orang berdosa?’

31Isa menjawab, ‘Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat.32Aku datang bukannya untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa, supaya mereka bertaubat.’

Pertanyaan tentang puasa

33Mereka berkata kepada Isa, ‘Pengikut-pengikut Yahya kerapkali berpuasa dan berdoa. Demikian juga pengikut-pengikut orang Farisi. Tetapi pengikut-pengikut-Mu ini makan dan minum sahaja.’

34Isa menjawab, ‘Dapatkah tetamu-tetamu pengantin lelaki diminta berpuasa selagi pengantin lelaki itu ada bersama-sama?35Tetapi selepas pengantin lelaki itu diambil daripada mereka, barulah mereka akan berpuasa.’

36Isa memberitahu juga suatu ibarat kepada mereka: ‘Tiada sesiapapun yang mengoyak secarik kain daripada pakaian yang baru untuk menampalkannya ke atas pakaian lama. Jika demikian, pakaian yang baru itu koyak dan secarik kain yang baru itu tidak sepadan dengan yang lama.37Tiada sesiapa juga yang akan menuang air anggur yang baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Jikalau demikian, air anggur yang baru itu akan mengoyakkan kirbat kulit itu, lalu air anggur di dalamnya akan tumpah dan kirbat kulit itu pun rosak.38Tetapi air anggur yang baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru.39Dan tiada sesiapapun gemar minum air anggur yang baru selepas dia minum air anggur yang lama kerana katanya, “Yang lama itu lebih baik.” ’

6

Pertanyaan tentang hari Sabat

1Pada hari Sabat Isa berjalan melalui ladang-ladang gandum dan pengikut-pengikut-Nya memetik bulir gandum, menggosoknya dengan tangan lalu memakannya.2Beberapa orang Farisi berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu membuat sesuatu yang dilarang pada hari Sabat?’

3Isa menjawab, ‘Belumkah kamu membaca tentang apa yang dilakukan oleh Daud tatkala dia dan pasukannya berasa lapar?4Dia masuk ke dalam rumah ibadat Tuhan lalu mengambil dan memakan Roti Persembahan lalu memberikannya kepada mereka yang ada bersamanya. Roti Persembahan itu dilarang dimakan kecuali oleh imam-imam sahaja.’5Isa menambah, ‘Putera Insan berkuasa atas hari Sabat.’

Orang yang tangannya lumpuh sebelah

6Pada suatu hari Sabat yang lain, Isa masuk ke dalam saumaah lalu mengajar orang. Terdapat di situ seorang yang lumpuh tangan kanannya.7Guru-guru Taurat dan orang Farisi mengawasi Isa untuk melihat sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat kerana mereka hendak mencari alasan untuk menuduh-Nya.8Isa mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada orang yang lumpuh tangan kanannya, ‘Bangunlah dan berdiri di sini.’ Orang itu pun bangun dan berdiri di situ.

9Isa berkata kepada mereka, ‘Aku bertanya kepadamu apa yang dibenarkan oleh hukum kita untuk dilakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat, menyelamatkan nyawa orang atau membinasakannya?’

10Isa memandang sekeliling mereka lalu berkata kepada orang itu, ‘Hulurkanlah tanganmu.’ Orang itu berbuat demikian dan tangannya pun sembuh.11Tetapi mereka naik berang lalu berbincang sesama diri tentang apa yang harus dibuat terhadap Isa.

Isa memilih dua belas rasul

12Pada masa itu Isa naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Semalam-malaman Dia berdoa kepada Allah.13Setelah hari siang, Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya dan daripada mereka itu, Dia memilih dua belas orang yang digelar-Nya rasul:14Simon yang dinamakan-Nya Petrus, dan Andreas adiknya, Yakobus dan Yahya, Filipus dan Bartolomeus,15Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus, Simon yang disebut orang Patriot,16Yudas anak Yakobus, dan Yudas Iskariot yang menjadi pembelot.

Isa mengajar dan menyembuhkan penyakit

17Isa turun bersama mereka lalu berdiri di suatu tempat yang rata dengan ramai pengikut-Nya. Ramai orang dari seluruh jajahan Yudea, dari Baitulmaqdis dan dari wilayah-wilayah Tirus serta Sidon18telah datang untuk mendengar Isa dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh-roh durjana turut datang dan mereka juga disembuhkan.19Semua orang cuba menyentuh Isa kerana kuasa sedang keluar daripada-Nya untuk menyembuhkan mereka semua.

Kebahagiaan dan penderitaan

20Isa berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya lalu berkata:

‘Diberkatilah kamu yang miskin,

kerana kamulah yang empunya kerajaan Allah.

21Diberkatilah kamu yang lapar sekarang,

kerana kamu akan dikenyangkan.

Diberkatilah kamu yang menangis sekarang,

kerana kamu akan bersuka ria.

22Diberkatilah kamu apabila orang membenci kamu, menyingkiri kamu, menghina kamu dan mengutuk kamu kerana Putera Insan.

23‘Bersuka rialah apabila perkara itu berlaku dan melonjak keriangan, kerana besar ganjaranmu di syurga kelak. Demikian juga perbuatan nenek moyang mereka terhadap nabi-nabi.

24‘Tetapi malangnya kamu yang kaya,

kerana kamu telah beroleh hidup

yang senang-lenang.

25Malangnya kamu yang sekarang kenyang,

kerana kamu akan lapar kelak.

Malangnya kamu yang sekarang tertawa,

kerana kamu akan menangis dan meratap kelak.

26Malangnya kamu apabila kamu dipuji semua orang,

kerana demikian juga perbuatan nenek moyang mereka

kepada nabi-nabi palsu.

Kasih kepada musuh

27‘Tetapi kepada kamu yang mendengar, Aku berkata demikian: Kasihilah seterumu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu;28berkatilah orang yang mengutuk kamu dan doakan orang yang menganiayai kamu.29Jika orang menampar sebelah pipimu, biarlah dia menampar sebelah lagi; jika ada orang mengambil jubah kamu, biarkan dia ambil bajumu juga.30Berilah setiap orang yang meminta sesuatu daripadamu dan jika sesiapa mengambil barangmu, jangan tuntut balik barang itu.31Berbuatlah kepada orang lain seperti yang kamu ingin mereka berbuat kepadamu.

32‘Jikalau kamu mengasihi orang yang mengasihi kamu, apakah kelebihanmu? Malah, orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka.33Dan jikalau kamu membalas baik kepada orang yang berbuat baik kepadamu, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun berbuat begitu.34Jikalau kamu meminjami orang yang kamu harap akan memulangkannya, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun meminjami orang berdosa untuk mendapatkan kembali sama banyaknya.35Tetapi kamu hendaklah mengasihi seterumu; kamu hendaklah berbuat baik kepadanya dan kamu hendaklah meminjami orang dengan tidak mengharapkan apa-apa. Besarlah ganjaranmu kelak dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi kerana Dia berbuat baik kepada orang yang tidak mengenang jasa dan kepada orang yang zalim.36Kamu hendaklah berbelas kasihan seperti Bapamu yang berbelas kasihan.

Menghakimi orang

37‘Janganlah kamu hakimi orang supaya kamu tidak akan dihakimi. Janganlah kamu hukum orang supaya kamu tidak dihukum. Ampunilah orang dan kamu akan diampuni.38Berilah kepada orang dan kamu akan diberi. Suatu takaran yang baik, dipadatkan dan digoncang sehingga melimpah keluar akan dicurahkan ke atas pangkuanmu. Sukatan yang kamu gunakan itu akan digunakan terhadap kamu.’

39Kemudian Isa memberitahu suatu ibarat lagi. ‘Bolehkah orang buta memimpin orang buta? Tidakkah kedua-duanya akan jatuh ke dalam longkang?40Seorang murid tidak melebihi gurunya; tetapi setiap murid yang terlatih dengan sempurna akan menyerupai gurunya.

41‘Mengapakah engkau memandang selumbar yang ada di dalam mata saudaramu, tetapi engkau tidak menyedari sebatang kayu yang ada di dalam matamu sendiri?42Bagaimanakah engkau dapat berkata kepada saudaramu, “Saudara, biarlah aku keluarkan selumbar itu daripada matamu” sedangkan engkau tidak nampak sebatang kayu yang ada di dalam matamu sendiri? Munafik! Buangkan kayu itu daripada matamu sendiri dahulu, barulah engkau dapat melihat dengan terang untuk mengeluarkan selumbar yang ada di dalam mata saudaramu.

Pokok dan buahnya

43‘Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik.44Tiap-tiap pokok dikenal daripada buahnya. Orang tidak memetik buah ara daripada pokok duri atau buah anggur daripada semak duri.45Orang yang baik mengeluarkan perkara yang baik daripada hati yang berlimpah-limpah dengan kebaikan; orang yang jahat mengeluarkan perkara yang jahat daripada hati yang penuh dengan kejahatan. Seseorang akan meluahkan apa yang terkandung di dalam hatinya.

Dua orang pembina rumah

46‘Mengapakah kamu memanggil Aku, “Ya Junjungan, ya Junjungan,” tetapi tidak mematuhi perintah-Ku?47Aku akan menunjukkan kepadamu keadaan orang yang datang kepada-Ku dan mendengar serta mentaati kata-kata-Ku.48Dia umpama seorang yang membina rumah. Dia menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah itu di atas batu. Apabila banjir berlaku, arus dari sungai akan melanda rumah itu tetapi tidak dapat menggoncangkannya kerana rumah itu didirikan dengan kukuh.49Akan tetapi, orang yang mendengar kata-kata-Ku dan tidak mahu mematuhinya umpama seorang yang membina rumah di atas tanah tanpa asas. Apabila dilanda arus sungai, rumah itu akan roboh dan kerosakannya besar sekali.’

7

Isa menyembuhkan hamba ketua tentera Rom

1Setelah Isa habis mengatakan semua perkara ini kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum.2Terdapat seorang hamba ketua tentera yang amat disayangi oleh tuannya; hamba itu sedang sakit tenat dan hampir mati.3Apabila ketua tentera itu mendengar tentang Isa, dia menyuruh beberapa tua-tua Yahudi mendapatkan Isa untuk meminta-Nya datang menyembuhkan hambanya itu.4Ketika mendapatkan Isa, mereka memohon-Nya bersungguh-sungguh, ‘Tolonglah kabulkan permintaannya kerana dia patut ditolong.5Dia mengasihi bangsa kita dan dia telah mendirikan sebuah saumaah untuk kita.’6Lalu Isa pun pergi bersama mereka.

Tatkala Dia tidak berapa jauh dari rumah, ketua tentera itu menyuruh beberapa orang sahabat memberitahu Isa, ‘Tuan, tak usah Tuan menyusahkan diri ke rumah aku kerana aku tidak layak.7Aku juga tidak layak datang untuk menemui Tuan. Memadailah Tuan memberikan perintah sahaja dan hambaku itu akan sembuh.8Aku juga di bawah perintah orang atasan dan aku ada askar di bawah perintahku. Aku memerintah seseorang, “Pergilah!” dan dia akan pergi; aku memerintah seorang lagi, “Mari!” dan dia akan datang. Aku memerintah seorang hamba, “Buat kerja ini!” dan dia akan melakukannya.’

9Isa kagum mendengar ini lalu Dia berpaling kepada orang ramai yang mengikut-Nya sambil berkata, ‘Aku berkata kepadamu bahawa antara bangsa Israel sekalipun belum pernah Aku jumpa orang yang beriman seteguh ini.’10Apabila mereka yang disuruh itu kembali ke rumah ketua tentera Rom itu, mereka mendapati hamba itu telah sembuh.

Isa menghidupkan anak lelaki seorang balu

11Tidak lama kemudian, Isa pergi ke sebuah bandar yang bernama Nain; pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai pergi bersama-Nya.12Ketika Dia mendekati pintu gerbang bandar itu, mayat anak lelaki tunggal seorang balu sedang diusung keluar dan sekumpulan besar orang dari bandar itu bersama dengan wanita itu.13Apabila Isa melihat balu itu, Dia berasa kasihan terhadapnya lalu berkata kepadanya, ‘Janganlah menangis.’

14Dia berjalan ke hadapan dan menyentuh keranda itu. Orang yang mengusung keranda itu pun berhenti. Lalu Isa berkata, ‘Hai pemuda, Aku berkata kepadamu — bangun!’15Orang yang sudah mati itu pun bangun dan mula bercakap; lalu Isa mengembalikannya kepada ibunya.

16Setiap orang ketakutan lalu memuji Allah: ‘Seorang nabi yang agung telah muncul di kalangan kita!’ dan ‘Allah telah mendatangi umat-Nya.’17Khabar tentang Isa ini tersebar ke seluruh jajahan Yudea dan daerah di sekelilingnya.

Pengikut-pengikut Yahya Pengimad

18Pengikut-pengikut Yahya memaklumkan segala perkara ini kepada Yahya.19Yahya memanggil dua orang pengikutnya lalu menyuruh mereka pergi kepada Junjungan untuk bertanya, ‘Adakah Tuan yang dikatakan akan datang itu, atau haruskah kami menantikan seorang yang lain?’

20Apabila mereka datang kepada Isa, mereka berkata, ‘Yahya yang mengimadkan itu menyuruh kami datang kepada Tuan untuk bertanya, “Adakah Tuan yang akan datang itu, atau haruskah kami menantikan seorang yang lain?” ’

21Pada masa itu, Isa sedang menyembuhkan ramai orang yang menderitai penyakit dan kerasukan roh iblis serta mencelikkan mata ramai orang buta.22Lalu Isa menjawab kepada mereka, ‘Pergilah dan maklumkan kepada Yahya apa yang telah kamu lihat dan dengar: orang buta dapat melihat, orang tempang dapat berjalan, orang kusta disembuhkan, orang tuli dapat mendengar, orang mati dihidupkan kembali serta perkhabaran yang baik diberitakan kepada orang miskin.23Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku.’

24Setelah utusan-utusan Yahya pulang, Isa mula berkata kepada orang ramai itu tentang Yahya, ‘Semasa kamu pergi berjumpa dengan Yahya di gurun, apakah yang hendak kamu lihat? Sebatang buluh yang digoyang oleh angin?25Kamu pergi untuk melihat apa? Seorang yang mengenakan pakaian bergaya? Sebenarnya, orang yang mengenakan pakaian bergaya dan hidup dalam kemewahan didapati di istana-istana raja.26Oleh itu, kamu pergi untuk melihat apa? Seorang nabi? Ya, dan Aku berkata kepadamu, kamu melihat lebih daripada seorang nabi.27Dialah yang dikatakan dalam Kitab Suci:

‘ “Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu,

dialah yang akan menyediakan

jalan bagi-Mu.”

28Aku berkata kepadamu bahawa Yahya itu lebih besar daripada semua orang yang pernah dilahirkan. Akan tetapi, orang yang terkecil dalam kerajaan Allah lebih besar daripadanya.’

29Orang ramai itu, termasuk pemungut-pemungut cukai, mendengar Isa. Mereka mengakui kebenaran Allah kerana mereka telah menerima pengimadan Yahya.30Tetapi orang Farisi dan guru-guru Taurat enggan menerima pengimadan Yahya, maka mereka menolak kehendak Allah untuk mereka.

31‘Dengan apakah dapat Aku umpamakan orang pada zaman ini? Bagaimanakah keadaan mereka?32Mereka umpama budak-budak yang duduk di pasar dan berseru-seru sesama sendiri:

‘ “Kami telah memainkan serunai untukmu,

tetapi kamu tidak mahu menari;

kami telah menyanyikan lagu-lagu sedih untukmu,

tetapi kamu tidak mahu menangis.”

33Kerana Yahya Pengimad telah datang dengan berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu kamu berkata, “Dia dirasuk roh iblis”34Putera Insan datang dengan makan dan minum lalu kamu berkata, “Tengoklah, orang gelojoh dan peminum, sahabat kepada pemungut-pemungut cukai dan orang berdosa.”35Tetapi kebijaksanaan dibuktikan benar oleh semua orang yang menerimanya.’

Isa di rumah Simon, seorang Farisi

36Salah seorang Farisi menjemput Isa makan di rumahnya. Isa masuk ke rumah orang Farisi itu lalu bertelekan pada meja.37Di dalam kota itu ada seorang perempuan yang hidup dalam dosa. Setelah dia mendengar bahawa Isa sedang makan di rumah orang Farisi itu, dia membawa sebuah botol berisi minyak wangi.38Dia berdiri di belakang Isa dekat dengan kaki-Nya dan menangis lalu membasahi kaki Isa dengan air matanya. Dia mengeringkan kaki Isa dengan menggunakan rambutnya, mencium kaki-Nya lalu menuang minyak wangi itu pada kaki-Nya.

39Apabila melihat perkara ini, orang Farisi yang menjemput Isa berkata-kata dalam hatinya, ‘Jika orang ini seorang nabi, tentulah dia mengetahui perempuan yang menyentuh-Nya seorang yang hidup berdosa.’

40Isa menjawabnya, ‘Simon, ada sesuatu yang hendak Aku katakan kepadamu.’

Simon berkata, ‘Ya Guru, katakanlah.’

41‘Ada dua orang berhutang kepada seorang pemiutang wang. Seorang berhutang lima ratus dinar dan seorang lagi lima puluh dinar.42Oleh sebab mereka tidak dapat membayar hutang itu, dia pun menghapuskan hutang kedua-dua penghutang wang itu. Antara mereka, yang manakah akan lebih mengasihinya?’

43Simon menjawab, ‘Aku rasa orang yang dihapuskan hutangnya yang lebih besar itu.’

Isa berkata kepadanya, ‘Betullah jawapanmu.’

44Lalu Isa berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada Simon, ‘Engkau melihat perempuan ini? Aku masuk ke rumahmu dan engkau tidak memberikan air membasuh kaki-Ku tetapi perempuan ini telah membasahi kaki-Ku dengan air matanya lalu mengeringkannya dengan rambutnya.45Engkau tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi semenjak Aku masuk, perempuan ini tidak berhenti-henti mencium kaki-Ku.46Engkau tidak menuang minyak pada kepala-Ku, tetapi perempuan ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku.47Oleh sebab itu, Aku berkata kepadamu bahawa kerana kasihnya yang besar, dosanya yang banyak itu telah diampunkan, tetapi orang yang telah diampuni sedikit sahaja, mengasihi sedikit juga.’

48Isa berkata kepada perempuan itu, ‘Dosa-dosamu telah diampunkan.’

49Mereka yang makan bersama Isa berkata sesama sendiri, ‘Siapakah orang ini yang mengampunkan dosa pula?’

50Isa berkata kepada perempuan itu, ‘Imanmu telah menyelamatkanmu. Pergilah dengan sejahtera.’

8

Beberapa orang perempuan menyertai Isa

1Tidak lama kemudian, Isa pergi dari bandar ke bandar dan dari kampung ke kampung untuk memberitakan perkhabaran yang baik tentang kerajaan Allah. Dua belas pengikut itu pergi bersama-Nya.2Begitu juga beberapa orang perempuan yang telah disembuhkan daripada kerasukan roh iblis dan daripada berbagai-bagai penyakit, iaitu Maryam (yang disebut orang Magdala) yang daripadanya telah diusir tujuh roh iblis;3Yoana, isteri Khuza, pegawai istana Raja Herodes; Susana dan ramai perempuan lain yang menggunakan harta benda mereka untuk membantu Isa serta pengikut-pengikut-Nya.

Ibarat seorang penabur

4Ketika orang ramai sedang berkumpul, dan orang dari beberapa buah bandar terus-menerus datang kepada-Nya, Dia menceritakan suatu ibarat:5‘Seorang penabur pergi menabur benihnya. Ketika dia menabur, ada yang jatuh di tepi jalan lalu dipijak orang dan dimakan burung.6Ada yang jatuh di tempat berbatu, dan setelah tumbuh, tanaman itu menjadi layu kerana tanah kekurangan air.7Ada pula jatuh di tengah-tengah semak duri lalu duri yang tumbuh bersama-sama membantutkan pertumbuhannya.8Tetapi ada benih yang jatuh di tanah yang baik lalu tumbuh dan mengeluarkan hasil seratus ganda banyaknya.’

Kemudian Isa berseru, ‘Orang yang bertelinga, baiklah dia mendengar.’

Maksud ibarat itu

9Pengikut-pengikut Isa bertanya kepada-Nya, ‘Apakah erti ibarat ini?’10Isa berkata, ‘Pengetahuan rahsia kerajaan Allah telah diberikan kepadamu, tetapi orang lain harus diberitahu dengan menggunakan ibarat supaya,

‘ “mereka terus melihat tetapi tidak nampak,

mereka terus mendengar tetapi

tidak mengerti.”

Isa menerangkan maksud ibarat seorang penabur itu

11‘Inilah maksud ibarat tadi: Benih itu ialah firman Allah.12Benih yang jatuh di tepi jalan itu menggambarkan mereka yang mendengar firman itu tetapi kemudian Iblis datang dan mengambil firman itu daripada hati mereka supaya mereka tidak percaya dan diselamatkan.13Benih yang jatuh di tempat berbatu itu menggambarkan mereka yang mendengar dan menyambut firman itu dengan gembira tetapi firman itu tidak berakar dalam hati mereka. Mereka itu hanya percaya untuk sementara waktu dan apabila waktu dicubai mereka akan meninggalkan kepercayaan mereka.14Benih yang jatuh di tengah-tengah semak duri itu menggambarkan mereka yang telah mendengarnya, tetapi dalam hidup mereka sehari-hari mereka terhimpit oleh kekhuatiran dan kekayaan serta kesenangan hidup lalu mereka tidak mengeluarkan buah dengan sempurna.15Benih yang jatuh di tanah yang baik menggambarkan mereka yang mendengar firman itu dan menyimpannya dalam hati yang tulus ikhlas lalu dengan ketekunan mereka terus mengeluarkan buah.

Pelita di bawah pasu

16‘Tiada seorang pun memasang pelita lalu menudungnya dengan sebuah pasu atau meletakkannya di bawah katil. Tetapi dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya cahayanya kelihatan kepada orang yang masuk ke ruang itu.17Tiada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak didedahkan kelak; tiada sesuatu rahsia pun yang tidak diketahui kelak.18Oleh sebab itu, berhati-hatilah bagaimana kamu mendengar. Sesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak ada, sedikit yang disangka ada padanya pun akan diambil daripadanya.’

Ibu Isa dan adik-beradik-Nya

19Ibu Isa dan adik-beradik-Nya datang kepada-Nya tetapi mereka tidak dapat bertemu dengan-Nya kerana kesesakan orang ramai.20Isa diberitahu, ‘Ibu dan adik-beradik-Mu berada di luar dan hendak bertemu dengan-Mu.’

21Isa menjawab kepada mereka, ‘Ibu-Ku dan adik-beradik-Ku ialah mereka yang mendengar firman Allah dan melaksanakannya.’

Isa meredakan ribut

22Pada suatu hari Isa bersama pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Isa berkata kepada mereka, ‘Marilah kita pergi ke seberang tasik.’ Lalu mereka bertolak.23Ketika mereka sedang belayar, Isa tertidur. Angin ribut bertiup ke tasik itu dan perahu itu pun dimasuki air sehingga mereka cemas.

24Mereka pergi kepada Isa dan mengejutkan-Nya. Mereka berkata, ‘Tuan, Tuan, kita hampir tenggelam!’

Isa bangun lalu memarahi angin dan ombak yang bergelora itu. Ribut itu pun berhenti dan segalanya tenang.25Isa berkata kepada mereka, ‘Di manakah imanmu?’

Mereka pun takut dan hairan serta berkata sesama sendiri, ‘Siapakah orang ini sehingga angin dan ombak pun menurut perintah-Nya?’

Isa menyembuhkan seorang yang dirasuk roh iblis

26Mereka belayar ke wilayah Gerasa yang di seberang Galilea.27Setelah Isa mendarat, seorang lelaki dari bandar itu datang menemui-Nya. Orang itu telah dirasuk roh-roh iblis dan sudah lama dia tidak berpakaian. Dia tidak tinggal di rumahnya lagi tetapi di gua kubur.28Ketika dia melihat Isa, dia berteriak lalu sujud di hadapan-Nya dan berkata dengan suara yang lantang, ‘Mengapakah Engkau mengganggu aku, ya Isa, Putera Allah Yang Maha Tinggi? Aku minta janganlah seksa aku.’29Dia berkata demikian kerana Isa telah memerintah roh durjana itu keluar daripadanya. Dia seringkali dikuasai oleh roh durjana itu. Oleh sebab itu, dia dikawal ketat dan tangan serta kakinya dirantai orang. Tetapi dia dapat memutuskan rantai itu dan dibawa oleh roh durjana ke padang gurun.

30Isa bertanya kepadanya, ‘Siapakah namamu?’

Dia menjawab, ‘Legion’ kerana dia telah dirasuk oleh ramai roh iblis.31Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya tidak menghalau mereka ke neraka.

32Kebetulannya, di bukit itu ada sekawan babi sedang makan. Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya Dia membenarkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu dan Isa membenarkannya.33Roh-roh iblis itu keluar daripada orang tadi dan masuk ke dalam babi. Kemudian kawanan babi itu menyerbu ke tempat curam dan terjun ke dalam tasik lalu mati lemas.

34Setelah penjaga-penjaga babi itu menyaksikan apa yang telah terjadi, mereka berlari untuk menyebarkan hal itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya.35Orang ramai pun keluar untuk melihat apa yang telah terjadi. Mereka datang kepada Isa dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu duduk di kaki Isa. Orang itu berpakaian dan sudah siuman. Oleh itu, mereka pun ketakutan.36Orang yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan kepada mereka bagaimana orang yang kerasukan roh iblis itu telah disembuhkan.37Lalu semua penduduk wilayah Gerasa meminta Isa supaya meninggalkan mereka kerana mereka ketakutan. Isa pun menaiki perahu untuk pulang.

38Orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu meminta Isa membenarkan dia mengikut bersama-Nya tetapi Isa menyuruh dia pulang39dan berkata, ‘Pulanglah ke rumahmu dan khabarkanlah segala yang dilakukan Allah untukmu.’ Orang itu pergi menyebarkan segala yang dilakukan Isa untuknya di seluruh bandar itu.

Anak perempuan Yairus dan perempuan yang menyentuh jubah Isa

40Sekembalinya Isa ke seberang tasik, orang ramai pun menyambut-Nya kerana mereka menanti-nantikan-Nya.41Seorang lelaki yang bernama Yairus, iaitu ketua saumaah datang kepada-Nya. Dia sujud pada kaki Isa dan memohon kepada-Nya supaya datang ke rumahnya42kerana anak perempuan tunggalnya yang berumur dua belas tahun hampir mati.

Semasa Isa berjalan, orang ramai itu mengasak-Nya dari semua sudut.43Terdapat seorang perempuan yang mengidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun dan walaupun dia telah menghabiskan segala harta bendanya untuk mendapatkan rawatan daripada beberapa orang tabib, dia tidak dapat disembuhkan oleh sesiapapun.44Perempuan itu datang dari belakang Isa dan menyentuh kaki jubah-Nya. Seketika itu juga, penyakit pendarahannya sembuh.

45Isa berkata, ‘Siapakah yang menyentuh Aku?’

Apabila semua orang menafikannya, Petrus berkata, ‘Tuan, orang ramai ini menghimpit dan mengasak Tuan.’

46Tetapi Isa berkata, ‘Ada orang menyentuh Aku kerana Aku tahu bahawa kuasa telah keluar daripada-Ku.’47Apabila perempuan itu mengetahui perbuatannya tidak dapat disembunyikan, dia datang dengan gementar lalu sujud di hadapan Isa dan menceritakan kepada-Nya di hadapan orang ramai itu sebabnya dia menyentuh Isa serta bagaimana dia sembuh seketika itu juga.48Isa berkata kepadanya, ‘Anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera.’

49Sementara Isa masih berkata-kata, seorang utusan datang dari rumah ketua saumaah dan berkata kepada ketua itu, ‘Anak perempuan tuan telah mati. Tidak usah menyusahkan Guru lagi.’

50Isa mendengar ini dan berkata kepada ketua itu, ‘Janganlah takut, percaya sahaja dan anakmu akan dipulihkan.’

51Apabila sampai ke rumah itu, Isa tidak membenarkan sesiapapun masuk bersama-sama selain Petrus, Yahya dan Yakobus serta ibu bapa budak itu.52Semua orang menangis dan meratapi kematian budak itu. Isa berkata, ‘Janganlah menangis. Dia bukan mati, dia cuma tidur.’

53Mereka mengetawakan Isa kerana mereka mengetahui anak itu telah mati.54Tetapi Isa memegang tangan budak itu dan berseru, ‘Anak-Ku, bangunlah!’55Nyawa budak itu kembali dan dia bangun seketika itu juga. Lalu Isa menyuruh mereka memberi budak itu makanan.56Ibu bapanya kagum tetapi Isa melarang mereka mengatakan apa-apa tentang kejadian itu kepada sesiapapun.

9

Isa mengutus dua belas pengikut-Nya

1Isa memanggil dua belas pengikut-Nya itu lalu memberi mereka kuasa dan perintah untuk mengusir segala roh iblis dan menyembuhkan berbagai-bagai penyakit.2Dia menyuruh mereka pergi mengkhabarkan kerajaan Allah dan menyembuhkan orang sakit.3Isa berkata kepada mereka, ‘Jangan kamu bawa apa jua pun dalam perjalananmu, baik tongkat, baik beg sedekah, baik makanan, baik wang atau lebih daripada sehelai pakaian.4Di rumah mana-mana pun kamu disambut, tinggallah di situ sehingga kamu meninggalkan bandar tersebut.5Di mana-mana kamu tidak disambut, tinggalkan bandar itu dan kebaskanlah debu daripada kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.’6Mereka pun berangkat lalu pergi dari kampung ke kampung untuk memberitakan perkhabaran yang baik dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja.

Kebingungan Herodes

7Herodes, raja wilayah, mendengar segala perkara yang berlaku. Dia keliru kerana ada yang mengatakan bahawa Yahya telah hidup semula,8ada yang berkata bahawa Ilyas telah muncul; ada juga yang berkata bahawa salah seorang nabi pada zaman dahulu telah hidup kembali.9Herodes berkata, ‘Yahya itu telah kupancung kepalanya tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentangnya telah aku dengar.’ Oleh yang demikian, dia mencari jalan untuk menemui Isa.

Isa memberikan makanan kepada lima ribu orang

10Setelah rasul-rasul itu kembali, mereka menceritakan kepada Isa segala perkara yang telah dilakukan mereka. Isa membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida.11Tetapi orang ramai mendapat tahu akan hal itu lalu mengikut-Nya. Isa menyambut mereka dan mengkhabarkan kerajaan Allah kepada mereka serta menyembuhkan orang yang memerlukan penyembuhan.

12Menjelang senja, dua belas pengikut itu datang kepada Isa. Mereka berkata, ‘Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.’

13Isa berkata kepada mereka, ‘Kamulah memberi mereka makanan.’

Pengikut-pengikut itu berkata lagi, ‘Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.’14Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ.

Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, ‘Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.’15Pengikut-pengikut itu melakukan suruhan Isa dan semua orang pun duduk.16Isa mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu. Lalu Dia menengadah ke langit sambil mengucap syukur atas makanan itu dan membahagi-bahagikannya. Dia memberikan makanan itu kepada pengikut-pengikut-Nya untuk dihidangkan kepada orang ramai.17Semua orang makan hingga kenyang dan dua belas bakul lebihan makanan dipungut oleh pengikut-pengikut-Nya.

Pengakuan Petrus tentang Isa

18Pada suatu hari semasa Isa berdoa bersendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Isa bertanya kepada mereka, ‘Mengikut orang ramai, siapakah Aku?’

19Mereka menjawab, ‘Ada yang mengatakan Yahya Pengimad; ada yang mengatakan Ilyas; dan ada pula yang berkata bahawa salah seorang daripada nabi telah hidup semula.’

20Isa berkata kepada mereka, ‘Apa kata kamu: Siapakah Aku pula?’

Petrus menjawab, ‘Al-Masih daripada Allah.’

Isa menceritakan kisah penderitaan dan kematian-Nya

21Dengan tegasnya Isa melarang mereka memaklumkan hal ini kepada sesiapapun;22dan menambah, ‘Putera Insan mesti menderita banyak sengsara dan ditentang oleh tua-tua, ketua-ketua imam serta guru-guru Taurat. Dia akan dibunuh, dan bangkit semula pada hari yang ketiga.’

23Isa berkata kepada semua, ‘Jikalau seseorang mahu mengikut-Ku, dia hendaklah melupakan kepentingan diri, memikul salibnya setiap hari dan mengikut-Ku.24Sesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan memeliharanya.25Apakah untungnya kepada seseorang jikalau dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian?26Jika sesiapa malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, Putera Insan juga malu mengakui dia tatkala Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya sendiri, dan dengan kemuliaan Bapa-Nya serta segala malaikat suci.27Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa ada beberapa orang yang berdiri di sini yang tidak akan mengalami maut sebelum mereka melihat kerajaan Allah.’

Isa dipermulia

28Kira-kira lapan hari setelah Isa mengatakan perkara-perkara tersebut, Dia membawa Petrus, Yahya dan Yakobus menaiki bukit untuk berdoa.29Semasa Isa berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan.30Tiba-tiba dua orang muncul dan bercakap dengan-Nya.31Mereka ialah Musa dan Ilyas yang kelihatan bersinar-sinar dengan kemuliaan dan mereka bercakap dengan Isa tentang kewafatan-Nya, iaitu bagaimana Isa akan menyempurnakan kehendak Allah melalui di Baitulmaqdis.32Petrus dan teman-temannya tidur lena tetapi setelah terjaga, mereka melihat kemuliaan Isa serta kedua-dua orang yang berdiri bersama-Nya.33Apabila kedua-dua orang itu hendak meninggalkan Isa, Petrus berkata kepada-Nya, ‘Tuan, betapa bahagianya kami berada di sini. Biarlah kami membuat tiga buah khemah: sebuah untuk Tuan, sebuah untuk Musa dan sebuah lagi untuk Ilyas.’ Sebenarnya, dia tidak mengetahui apa yang dikatakannya itu.

34Ketika Petrus berkata demikian, suatu awan meliputi mereka dan mereka ketakutan.35Lalu kedengaran suara dari dalam awan itu mengatakan, ‘Inilah Putera-Ku yang Aku pilih. Dengarlah kata-kata-Nya!’36Setelah suara itu berhenti, Isa kelihatan seorang sahaja. Pengikut-pengikut itu berdiam diri dan tidak menceritakan kepada sesiapa jua apa yang telah disaksikan oleh mereka itu.

Isa menyembuhkan budak yang dirasuk roh iblis

37Pada keesokan harinya, mereka turun dari bukit itu dan orang ramai bertemu dengan Isa.38Seorang antaranya berseru, ‘Tuan Guru, tolonglah anakku kerana dia anak tunggalku.39Dia dirasuk sesuatu roh lalu tiba-tiba dia berteriak dan tersentak-sentak sehingga mulutnya berbuih-buih. Roh itu mencederakannya dan tidak mahu melepaskannya.40Aku telah memohon pengikut-pengikut Tuan supaya mengusir roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.’

41Isa menjawab, ‘Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini! Berapa lamakah harus Aku bersama kamu dan bersabar terhadap kamu? Bawalah anakmu itu ke mari.’

42Semasa dia datang, roh durjana itu mencampakkannya ke tanah lalu membuatnya tersentak-sentak. Tetapi Isa memarahi roh durjana itu, lalu menyembuhkan budak itu dan menyerahkannya kepada bapanya.43Semua orang tercengang menyaksikan keagungan Allah.

Isa bercakap tentang kematian-Nya lagi

Sementara semua orang masih hairan akan segala yang dibuat oleh Isa, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,44‘Jangan lupa akan apa yang Aku katakan kepadamu ini: Putera Insan akan diserahkan ke tangan orang.’45Mereka tidak mengetahui maksudnya kerana tersembunyi daripada mereka supaya mereka tidak memahaminya. Mereka takut pula bertanya kepada Isa tentang perkara itu.

Siapakah yang terbesar?

46Mereka bertengkar sesama sendiri tentang siapa antara mereka yang terbesar.47Isa mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di sisi-Nya.48Isa berkata, ‘Sesiapa yang menerima kanak-kanak ini kerana Nama-Ku menerima Aku; dan sesiapa yang menerima Aku menerima Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang rendah sekali hatinya antara kamu semua — dialah yang terbesar!’

Yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu

49Yahya berkata, ‘Tuan, kami telah melihat seorang yang mengusir roh-roh iblis dengan menggunakan Nama-Mu, dan kami melarang dia kerana dia tidak termasuk dalam golongan kami.’

50Isa berkata kepadanya, ‘Janganlah kamu larang dia. Orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu.’

Penduduk di sebuah kampung Samaria tidak menerima Isa

51Tatkala waktunya sudah dekat untuk Isa diangkat ke syurga, Dia menetapkan hati-Nya untuk menuju ke Baitulmaqdis.52Dia menyuruh beberapa utusan mendahului-Nya. Mereka pun masuk ke sebuah kampung orang Samaria untuk menyediakan tempat persinggahan bagi Isa.53Tetapi orang Samaria tidak menerima Isa kerana Dia sedang menuju ke Baitulmaqdis.54Ketika Yakobus dan Yahya, pengikut-pengikut Isa melihat perkara ini, mereka berkata, ‘Tuan, adakah Tuan mahu kami menyuruhkan api turun dari langit untuk membinasakan orang Samaria ini?’55Isa berpaling dan memarahi mereka.56Lalu mereka pergi ke sebuah kampung yang lain.

Syarat-syarat menjadi pengikut Isa

57Ketika mereka dalam perjalanan, seorang berkata kepada Isa, ‘Aku hendak mengikut Engkau ke mana sahaja Engkau pergi.’

58Isa berkata kepadanya, ‘Musang ada lubangnya dan burung ada sarangnya tetapi Putera Insan tiada tempat untuk meletakkan kepalanya.’

59Isa berkata kepada seorang yang lain, ‘Ikutlah Aku.’

Tetapi dia menjawab, ‘Biarlah aku pergi mengebumikan jenazah bapaku dahulu.’

60Isa berkata kepadanya, ‘Biarlah orang mati mengebumikan orang mati mereka; tetapi engkau pergilah menyampaikan perkhabaran tentang kerajaan Allah.’

61Seorang lain pula berkata, ‘Aku hendak mengikut Tuan, tetapi biarlah aku pergi mengucapkan selamat tinggal kepada kaum keluargaku terlebih dahulu.’

62Isa berkata kepadanya, ‘Tiada seorang pun yang mula membajak dan asyik menoleh ke belakang layak bagi kerajaan Allah.’

10

Isa mengutus tujuh puluh orang pengikut

1Setelah itu Junjungan memilih tujuh puluh orang pengikut lain dan menyuruh mereka pergi berdua-dua mendahului-Nya ke setiap bandar dan tempat yang akan dikunjungi-Nya.2Dia berkata kepada mereka, ‘Hasil tuaian sungguh banyak tetapi penuai sedikit sahaja. Oleh itu, mintalah Tuan punya tuaian menyuruh lebih ramai penuai ke tempat tuaiannya.3Pergilah kamu! Aku mengutus kamu pergi seperti anak domba ke tengah-tengah serigala.4Janganlah bawa dompet atau beg sedekah atau kasut dan jangan berhenti di jalan untuk bersalam dengan sesiapapun.

5‘Apabila kamu memasuki sesebuah rumah, kamu hendaklah terlebih dahulu mengucapkan “Sejahteralah seisi rumah ini.”6Jikalau orang yang tinggal di rumah itu layak menerima sejahtera, sejahteramu akan tetap padanya. Jika tidak, sejahteramu itu akan kembali kepadamu.7Tinggallah di rumah yang sama, dan makan serta minum apa sahaja yang dihidangkan kerana orang yang bekerja itu layak mendapat upah. Jangan berpindah dari rumah ke rumah.

8‘Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu disambut, makanlah apa sahaja yang dihidangkan.9Sembuhkan orang sakit yang ada di situ dan berkata kepada mereka, “Kerajaan Allah telah mendekati kamu.”10Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu tidak disambut, kamu hendaklah keluar ke jalan dan berkata,11“Debu bandarmu yang terlekat di kaki kami pun kami kebaskan sebagai bantahan terhadapmu. Tetapi ketahuilah bahawa kerajaan Allah telah mendekati kamu.”12Aku berkata kepadamu bahawa pada hari pengadilan nanti, penduduk Sodom akan kurang sengsaranya daripada penduduk bandar itu.

Malangnya bandar yang tidak percaya

13‘Malangnya kamu, penduduk Korazin! Malangnya kamu, penduduk Baitsaida! Jikalau mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu dilakukan di Tirus dan Sidon, sudah lama penduduk di situ bertaubat daripada dosa mereka dengan memakai baju kabung dan menaruh abu pada kepala.14Penduduk Tirus dan Sidon akan kurang sengsaranya daripada kamu pada hari pengadilan nanti.15Hai penduduk Kapernaum, adakah kamu akan ditinggikan sampai ke langit? Tidak, kamu akan dicampakkan ke dalam neraka!’

16Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, ‘Sesiapa yang mendengar kata-katamu mendengar kata-kata Aku; sesiapa yang menentangmu menentang Aku; dan sesiapa yang menentang Aku juga menentang Dia yang mengutus Aku.’

Tujuh puluh orang pengikut itu kembali

17Tujuh puluh orang pengikut itu kembali dengan sukacitanya dan berkata, ‘Ya Junjungan, demi nama-Mu segala roh iblis pun menurut perintah kami.’

18Isa berkata kepada mereka, ‘Aku melihat Iblis jatuh dari langit seperti kilat.19Aku telah memberimu kuasa untuk memijak ular dan kala jengking serta kuasa atas segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa yang dapat mencederakan kamu.20Tetapi jangan kamu bersukacita kerana segala roh iblis menurut perintahmu tetapi bersukacitalah kerana namamu tercatat di syurga.’

Isa bersukacita

21Pada ketika itu, Isa bersukacita kerana dipenuhi dengan Roh Suci lalu berkata, ‘Ya Bapa yang memerintah langit dan bumi, Aku bersyukur kerana Engkau telah menunjukkan kepada orang yang seperti kanak-kanak apa yang Engkau sembunyikan daripada orang yang terpelajar dan pandai. Ya Bapa, ini dilakukan kerana sedemikianlah yang Engkau berkenan.

22‘Bapa-Ku telah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tiada sesiapa mengenal siapa Putera kecuali Bapa; dan tiada sesiapa mengenal Bapa kecuali Putera serta mereka yang dipilih oleh Putera untuk menyatakan Bapa.’

23Isa berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya lalu berkata secara sulit, ‘Diberkatilah mata yang melihat segala perkara yang kamu lihat.24Aku memberitahumu bahawa ramai nabi dan raja dahulu yang ingin melihat apa yang kamu lihat, tetapi tidak dapat melihatnya serta ingin mendengar apa yang kamu dengar, tetapi tidak dapat mendengarnya.’

Ibarat seorang Samaria yang baik hati

25Seorang ahli Taurat datang dan cuba memerangkap Isa. Dia bertanya, ‘Tuan Guru, apakah yang patut aku buat supaya memperoleh hidup yang kekal?’

26Isa berkata, ‘Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah kamu mentafsirnya?’

27Ahli Taurat itu menjawab, ‘ “Engkau hendaklah mengasihi Allah, Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh kekuatanmu dan dengan sepenuh fikiranmu serta engkau hendaklah mengasihi sesama manusia seperti dirimu sendiri.” ’

28Isa berkata kepadanya, ‘Betullah jawapanmu. Berbuatlah demikian dan kamu akan hidup.’

29Tetapi dia hendak membela dirinya lalu dia berkata kepada Isa, ‘Siapakah sesama manusia itu?’

30Isa menjawab, ‘Ada seorang dalam perjalanan dari Baitulmaqdis ke Yerikho. Dia diserang oleh penyamun yang merompaknya dan membelasahnya sehingga setengah mati.31Kebetulannya, seorang imam melalui jalan itu. Apabila dia melihat si malang itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya.32Begitu juga seorang suku bangsa Lewi melalui tempat itu dan melihat si malang itu. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya.33Akan tetapi, seorang bangsa Samaria juga lalu di tempat itu dalam perjalanannya. Dia melihat si malang itu dan hatinya dipenuhi dengan belas kasihan.34Dia menghampiri si malang itu lalu membersihkan luka-lukanya dengan air anggur dan minyak serta membalut luka itu. Kemudian, dia menaikkan si malang itu ke atas keldai tunggangannya dan membawanya ke rumah tumpangan untuk terus merawatinya di situ.35Pada keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang perak kepada tuan rumah tumpangan untuk perbelanjaan si malang itu sambil berkata, “Jagalah dia dan sekiranya wang ini tidak cukup untuknya, aku akan membayarnya apabila aku datang kembali.”’

36Isa berkata, ‘Antara tiga orang itu, siapakah pada pandangan kamu menjadi sesama manusia kepada orang yang dirompak oleh penyamun?’

37Ahli Taurat itu menjawab, ‘Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.’ Isa berkata, ‘Pergi dan berbuatlah sedemikian.’

Isa melawat Marta dan Maryam

38Isa dan pengikut-pengikut-Nya meneruskan perjalanan dan sampai di sebuah kampung. Seorang perempuan yang bernama Marta menyambut Dia ke rumahnya.39Maryam, adik Marta, duduk sahaja untuk mendengar pengajaran Junjungan40tetapi Marta pula sibuk melayani mereka. Marta menghampiri Isa dan berkata, ‘Junjungan, tidakkah Junjungan peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku.’

41Junjugan menjawab, ‘Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara.42Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maryam telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya.’

11

Pengajaran Isa tentang doa

1Isa berdoa di suatu tempat dan setelah Dia berhenti, salah seorang daripada pengikut-Nya berkata, ‘Junjungan, ajarlah kami berdoa seperti Yahya mengajar pengikut-pengikutnya.’

2Isa berkata kepada mereka, ‘Apabila kamu berdoa, katakanlah:

‘ “Ya Bapa, sucilah Namu-Mu;

Datanglah kerajaan-Mu;

3Berilah kami makanan yang secukupnya setiap hari;

4Ampunkanlah dosa-dosa kami,

sebagaimana kami mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami;

janganlah biarkan kami tergoda.” ’

5Isa meneruskan kata-Nya, ‘Siapakah antara kamu yang akan pergi kepada sahabatnya pada lewat malam lalu berkata kepadanya, “Hai sahabat, pinjamilah aku tiga buku roti6kerana seorang sahabatku telah singgah di rumahku dalam perjalanannya dan aku tiada makanan apa-apa untuk dihidangkan.”

7‘Sahabat itu menjawab dari dalam rumahnya, “Janganlah ganggu aku kerana pintu sudah dikunci dan kami semua telah pun masuk tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberikan apa-apa.” ’8Isa berkata, ‘Aku berkata kepadamu bahawa sungguhpun, dia tidak mahu bangun memberikan pinjaman itu kepadamu kerana kamu sahabatnya, tetapi dia akan bangun juga dan memberikan pinjaman seberapa banyak yang kamu perlukan kalau kamu tidak segan untuk terus meminta daripadanya.

9‘Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Mintalah supaya kamu akan diberi; carilah supaya kamu akan mendapat; ketuklah pintu supaya pintu akan dibuka untukmu.10Kerana setiap orang yang meminta akan menerima; yang mencari akan mendapat; dan pintu akan dibuka kepada orang yang mengetuknya.

11‘Bapa yang manakah di antara kamu akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan,12atau memberikan kala jengking kalau dipintanya telur?13Jika kamu yang jahat tahu memberikan barang yang baik kepada anak-anakmu, apatah lagi Bapamu yang di syurga akan memberikan Roh Suci kepada orang yang meminta-Nya!’

Isa dan Beelzebul

14Isa mengusir roh iblis daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar, orang bisu itu pun mula bercakap. Orang ramai pun hairan.15Tetapi ada orang yang berkata, ‘Dia mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, ketua semua roh iblis.’16Orang lain cuba memerangkap Isa dengan meminta-Nya melakukan suatu mukjizat untuk menunjukkan Allah berkenan dengan-Nya.

17Isa mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada mereka, ‘Setiap negara yang berbelah bahagi dan bermusuhan sesama rakyatnya tidak akan tahan lama dan setiap keluarga yang bersengketa sesama sendiri akan hancur.18Jikalau kerajaan Iblis berlawan-lawanan sesama sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul.19Tetapi jikalau Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu mengusir roh-roh iblis? Maka pengikut-pengikutmu sendiri akan menghakimi kamu!20Tetapi jika Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka ini menunjukkan bahawa kerajaan Allah telah datang kepada kamu.

21‘Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat;22tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya.

23‘Orang yang tidak berpihak kepada Aku menentang Aku; dan orang yang tidak bersama Aku bercerai-berai.

Roh durjana kembali

24‘Apabila roh durjana keluar daripada seseorang, roh itu mengembara di tempat yang kering untuk mencari tempat berehat. Jika tempat itu tidak dapat dicari, roh itu berkata, “Aku akan pulang ke tempat kediamanku yang lama.”25Roh itu kembali dan mendapati tempat kediamannya itu bersih dan kemas.26Kemudian dia pergi membawa tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya lalu mereka tinggal di situ. Keadaan orang itu pada akhirnya lebih teruk daripada dahulu.’

Kebahagiaan yang sejati

27Setelah Isa berkata demikian, seorang perempuan antara orang ramai itu berkata, ‘Diberkatilah perempuan yang melahirkan dan menyusui Engkau.’

28Tetapi Isa berkata, ‘Bahkan lebih diberkati lagi orang yang mendengar firman Allah dan mematuhinya.’

Meminta mukjizat dilakukan

29Semasa orang ramai mengerumuni Isa, Dia berkata, ‘Betapa durjananya orang zaman ini! Mereka meminta mukjizat dilakukan sebagai alamat daripada Allah tetapi alamat tidak akan diberi kecuali alamat Nabi Yunus30kerana seperti Yunus telah menjadi alamat kepada orang Niniwe, demikian juga Putera Insan menjadi alamat kepada orang zaman ini.31Pada hari pengadilan ratu negeri Selatan akan bangkit dan mencela mereka kerana ratu itu telah datang dari hujung bumi untuk mendengar pengajaran Sulaiman yang bijak, dan di sini ada seorang yang lebih besar daripada Sulaiman.32Orang Niniwe akan bangkit pada hari pengadilan dan mencela orang zaman ini kerana orang Niniwe itu telah bertaubat daripada dosa mereka apabila mendengar khutbah Yunus; dan di sini ada seorang yang lebih besar daripada Yunus.

Pelita bagi tubuh

33‘Tiada seorang pun yang memasang pelita lalu meletakkannya di tempat yang tersembunyi atau di bawah pasu. Sebaliknya, dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya orang yang masuk dapat melihat cahayanya.34Matamu ialah pelita bagi tubuhmu. Jikalau matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu pun menjadi gelap.35Oleh itu, berjaga-jagalah supaya cahaya dalammu itu tidak menjadi gelap.36Jikalau seluruh tubuhmu itu terang tanpa sebarang bahagian yang gelap, seluruh tubuhmu akan terang-benderang seperti sebuah pelita menerangi kamu dengan cahayanya.’

Isa mengecam orang Farisi dan guru Taurat

37Setelah Isa habis bercakap, seorang Farisi menjemput Dia makan di rumahnya. Isa pun pergi lalu bertelekan di meja.38Orang Farisi itu kehairanan apabila melihat Isa tidak membasuh tangan-Nya sebelum makan.

39Oleh itu Junjungan berkata kepadanya, ‘Kamu orang Farisi mencuci bahagian luar pinggan mangkuk, tetapi kamu penuh dengan ketamakan dan kezaliman dalam hatimu.40Hai orang yang bodoh! Bukankah Dia yang menjadikan bahagian luar juga menjadikan bahagian dalam?41Berikanlah makanan yang ada di dalam pinggan mangkuk itu kepada orang miskin dan segala-galanya akan menjadi bersih bagimu.

42‘Malangnya kamu, orang Farisi! Kamu membayar sepersepuluh daripada selasih, inggu dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan dan kasih kepada Allah. Kamu haruslah membayar sepersepuluh itu tanpa mengabaikan perkara-perkara yang lebih penting.

43‘Malangnya kamu orang Farisi! Kamu suka duduk di kerusi khas di saumaah-saumaah dan diberi salam dengan hormatnya di pasar-pasar.

44‘Malangnya kamu! Kamu umpama kubur-kubur yang tidak bernisan, yang dipijak-pijak tanpa disedari oleh orang yang berjalan di atasnya.’

45Seorang daripada guru Taurat berkata kepada Isa, ‘Guru menghina kami juga apabila Guru berkata sedemikian.’

46Isa berkata, ‘Malangnya kamu guru-guru Taurat, kerana kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu.

47‘Malangnya kamu! Kamu membina makam untuk nabi-nabi yang telah dibunuh oleh nenek moyangmu.48Oleh itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyangmu itu; kerana mereka telah membunuh nabi-nabi itu tetapi kamu membina makam mereka pula.49Dengan itu, kebijaksanaan Allah telah mengatakan, “Aku mengutus nabi-nabi dan rasul-rasul kepada mereka, yang sesetengahnya akan dibunuh atau dianiayai oleh mereka.”50Jadi, orang zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi sejak dunia dicipta,51iaitu, dari pembunuhan Habil hingga pembunuhan Zekaria di antara tempat persembahan korban dengan rumah ibadat. Ya, Aku berkata kepadamu bahawa orang zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi itu.

52‘Malangnya kamu, ahli-ahli Taurat! Kunci ilmu telah kamu ambil; kamu sendiri tidak mahu masuk tetapi kamu menghalang orang yang cuba hendak masuk.’

53Setelah Isa keluar dari rumah itu, guru-guru Taurat dan orang Farisi mula mengecam Dia. Mereka menanya-Nya tentang banyak perkara,54dan cuba memerangkap Dia dengan mencari kesalahan dalam sesuatu yang dikatakan-Nya.

12

Amaran tentang kepuraan

1Oleh sebab tidak terkira ramainya orang berkerumun, mereka pijak-memijak sesama sendiri. Isa pun berkata, terutamanya kepada pengikut-pengikut-Nya, ‘Jagalah dirimu daripada ragi orang Farisi, iaitu sifat munafik.2Tiada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak akan dinyatakan, dan tiada sesuatu rahsia pun yang tidak akan didedahkan.3Apa sahaja yang kamu katakan secara rahsia akan didengar secara terang-terang, dan apa sahaja yang kamu bisikkan di dalam bilik tertutup akan diumumkan.

Takut akan Allah

4‘Aku berkata kepadamu, hai sahabat-sahabat-Ku, janganlah kamu takut akan orang yang dapat membunuh tubuh sahaja dan kemudian tidak berkuasa lagi terhadapmu.5Aku menyatakan siapa yang harus kamu takuti: Takutlah akan Dia yang setelah mengambil nyawamu, berkuasa pula membuangmu ke dalam neraka. Aku berkata kepadamu supaya takut akan Dia!6Bukankah lima ekor burung pipit dijual orang dengan harga dua syiling sahaja? Namun tiada seekor pun dilupakan oleh Allah.7Malahan segala rambut di kepalamu telah dihitung. Janganlah kamu takut; kamu lebih bernilai daripada banyak burung pipit itu.

8‘Aku berkata kepadamu bahawa tiap-tiap orang yang mengakui Aku di hadapan manusia akan diakui oleh Putera Insan di hadapan malaikat-malaikat Allah.9Sesiapa yang tidak mengakui Aku di hadapan manusia tidak akan diakui oleh Putera Insan di hadapan malaikat-malaikat Allah.10Sesiapa yang mengeluarkan kata-kata menentang Putera Insan akan diampuni. Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Suci tidak akan diampuni.

11‘Apabila orang membawa kamu untuk didakwa di majlis saumaah atau di hadapan gabenor atau pihak berkuasa, janganlah kamu khuatir bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan,12kerana pada waktu itu Roh Suci akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan.’

Ibarat orang kaya yang bodoh

13Seorang daripada orang ramai itu berkata, ‘Tuan Guru, suruh abang aku membahagikan warisan denganku.’

14Isa menjawab, ‘Saudara, siapakah yang menjadikan Aku hakim atau pembahagi warisan kepada kamu?’15Isa terus menambah, ‘Ingatlah baik-baik supaya menjaga diri daripada segala ketamakan kerana kehidupan manusia tidak bergantung pada harta kekayaan yang dimiliki.’

16Lalu Dia pun menceritakan kepada mereka satu ibarat: ‘Seorang kaya mempunyai tanah yang mengeluarkan hasil yang banyak.17Dia berfikir dalam hatinya, “Apakah harus aku buat? Tiada lagi tempat untuk menyimpan hasil tanahku.”

18‘Dia berkata, “Baiklah aku berbuat begini. Aku akan meruntuhkan gudang-gudangku dan membina yang lebih besar. Di situlah aku akan menyimpan segala hasil dan harta bendaku.19Aku akan berkata kepada diriku, engkau mempunyai harta yang banyak untuk keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup. Makan minum dan bersuka rialah.”

20‘Tetapi Allah berfirman kepadanya, “Engkau bodoh! Pada malam ini juga, nyawamu akan dituntut kembali daripadamu. Lalu harta benda yang telah kaukumpulkan itu akan menjadi hak siapa?”

21‘Demikianlah halnya orang yang menyimpan harta benda untuk dirinya tetapi tidak kaya pada pandangan Allah.’

Kepercayaan kepada Allah

22Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Sebab itulah Aku berkata kepadamu supaya jangan khuatir tentang makanan untuk hidupmu dan pakaian untuk tubuhmu.23Hidupmu tidak hanya bergantung pada makanan, dan tubuhmu tidak hanya bergantung pada pakaian.24Perhatikanlah burung gagak yang tidak menabur atau menuai, tidak mempunyai gudang atau rengkiang, tetapi Allah memberikan makanan kepadanya. Kamu lebih bernilai daripada burung-burung itu!25Dapatkah sesiapa antaramu memanjangkan umur sedikit pun dengan menaruh khuatir?26Jikalau kamu tidak dapat membuat perkara yang sekecil ini, mengapakah kamu khuatir tentang hal-hal yang lain?

27‘Perhatikanlah bunga bakung. Bunga ini tidak menenun. Tetapi Aku berkata kepadamu bahawa Sulaiman dengan segala kemuliaannya pun tidak berpakaian seindah bunga-bunga ini.28Jikalau Allah menghiasi sedemikian rumput yang hari ini ada di padang tetapi esoknya dibakar, bukankah Dia apatah lagi akan memberikan pakaian kepada kamu! Alangkah lemahnya imanmu!29Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah bimbang hati.30Orang yang tidak mengenal Allah mengutamakan perkara-perkara ini, tetapi Bapamu mengetahui kamu memerlukan semua ini.31Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan segala perkara ini akan diberikan-Nya kepadamu.

32‘Janganlah takut, hai golongan kecil sahabat Aku, kerana Bapamu berkenan hendak memberikan kerajaan-Nya kepadamu.33Juallah hartamu dan berikanlah wang itu kepada orang miskin. Sediakanlah bagi dirimu dompet yang tidak akan usang dan simpanlah kekayaanmu di syurga yang tidak dapat dimasuki oleh pencuri atau dirosakkan oleh gegat.34Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.

Hamba yang berjaga-jaga

35‘Kamu hendaklah bersiap sedia dengan pelitamu terpasang.36Kamu hendaklah seperti orang yang menantikan kepulangan tuan mereka dari jamuan perkahwinan. Apabila tuan mereka pulang dan mengetuk pintu, mereka akan membuka pintu itu dengan serta-merta.37Diberkatilah hamba-hamba yang didapati berjaga-jaga oleh tuan mereka ketika dia pulang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa tuan itu akan menyuruh mereka bertelekan di meja dan dia sendiri akan melayani mereka.38Diberkatilah hamba-hamba itu jikalau tuan itu pulang baik pada tengah malam ataupun sebelum fajar menyingsing dan mendapati mereka bersiap sedia.39Tetapi ketahuilah kamu bahawa sekiranya tuan rumah mengetahui masa pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan rumahnya dipecah masuk.40Oleh itu, kamu hendaklah bersedia kerana Putera Insan akan datang pada suatu masa yang tidak kamu sangka.’

Hamba yang setia dan hamba yang derhaka

41Petrus bertanya, ‘Junjungan, adakah Engkau beritahu ibarat ini kepada kami atau kepada semua orang?’

42Junjungan menjawab, ‘Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah yang dipertanggungjawabkan oleh tuannya untuk mengurus rumahtangganya dan memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktunya.43Diberkatilah hamba yang didapati oleh tuannya sedang berbuat demikian apabila tuannya pulang.44Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa tuan itu akan mempertanggungjawabkan hamba tersebut sebagai pengurus segala hartanya.45Tetapi jikalau hamba itu berfikir dalam hatinya, “Tuan aku pulang lewat,” lalu dia mula memukul hamba-hamba yang lain baik lelaki ataupun perempuan dan makan minum sehingga mabuk,46maka tuannya akan pulang pada hari yang tidak disangka-sangkanya serta pada waktu yang tidak diketahuinya. Tuan itu akan membuangnya dan menempatkannya bersama orang yang tidak percaya.

47‘Seorang hamba yang mengetahui kehendak tuannya tetapi tidak bersedia serta tidak melakukannya, akan disebat dengan teruk.48Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, sekalipun melakukan perkara yang patut dihukum sebat, akan dihukum dengan ringan sahaja. Kerana sesiapa yang diberikan banyak, banyak pula akan dituntut daripadanya. Semakin banyak yang diamanahkan kepada seseorang, semakin banyak pula yang akan dituntut daripadanya.

Isa menyebabkan perpecahan

49‘Aku datang untuk melontarkan api ke bumi dan betapa inginnya Aku api itu telah menyala!50Aku harus mengalami suatu pengimadan dan betapa resahnya hati-Ku selagi perkara itu belum selesai.51Adakah pada sangkaanmu, Aku datang untuk membawa kedamaian di dunia? Aku berkata kepadamu, bukan kedamaian melainkan perpecahan!52Mulai sekarang, lima orang dalam sebuah keluarga akan berpecah, tiga melawan dua dan dua melawan tiga.53Bapa melawan anak lelakinya dan anak lelaki melawan bapanya, ibu melawan anak perempuannya dan anak perempuan melawan ibunya, ibu mertua melawan menantu perempuannya serta menantu perempuan melawan ibu mertuanya.’

Memahami alamat zaman ini

54Isa berkata kepada orang ramai itu, ‘Apabila kamu melihat awan naik dari barat, kamu akan berkata, “Hari mahu hujan,” dan begitulah berlakunya.55Apabila kamu melihat adanya angin selatan bertiup, kamu berkata, “Hari akan panas terik,” dan begitulah berlakunya.56Hai munafik! Kamu tahu mentafsir cuaca dengan melihat alamat di langit dan bumi, tetapi mengapakah kamu tidak memahami alamat-alamat zaman ini?

Berdamailah dengan musuh

57‘Mengapakah kamu sendiri tidak dapat menentukan apa yang benar?58Apabila engkau berjalan menuju ke mahkamah bersama orang yang mendakwamu, berusahalah untuk menyelesaikan perkara itu dalam perjalanan agar dia tidak mengheretmu ke hadapan hakim dan hakim akan menyerahkanmu kepada pegawai polis yang akan memasukkanmu ke dalam penjara.59Aku berkata kepadamu bahawa engkau tidak dapat keluar dari situ sehingga engkau membayar seluruh dendamu.’

13

Bertaubat atau binasa

1Pada masa itu beberapa orang datang memberitahu Isa tentang orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus semasa mereka sedang mempersembahkan korban kepada Allah.2Isa berkata, ‘Adakah kamu menganggap orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua penduduk Galilea yang lain kerana mereka menderita sengsara yang sedemikian?3Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jikalau kamu tidak bertaubat daripada dosamu, kamu akan binasa sedemikian juga.4Bagaimanakah pula dengan lapan belas orang yang mati ditimpa oleh menara di Siloam? Adakah mereka lebih bersalah daripada semua penduduk lain di kota Baitulmaqdis?5Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jikalau kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa sedemikian juga.’

Ibarat tentang pokok ara yang tidak berbuah

6Isa menceritakan suatu ibarat. ‘Seorang telah menanam pokok ara di kebun buah-buahannya. Dia datang mencari buahnya, tetapi tidak dijumpai.7Dia berkata kepada tukang kebun, “Tengoklah, sudah tiga tahun aku datang mencari buah daripada pokok ara ini, tetapi tidak juga didapati. Tebangkanlah pokok ini! Apa gunanya terus menghabiskan kesuburan tanah?”

8‘Tukang kebun menjawab, “Tuan, biarkan pokok ini tumbuh setahun lagi. Aku akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan membubuh baja.9Kalau pokok ini berbuah, baiklah! Kalau tidak, tuan boleh menebangnya.”’

Isa menyembuhkan seorang perempuan bongkok

10Pada hari Sabat Isa mengajar di salah sebuah saumaah.11Di situ ada seorang perempuan yang dirasuk oleh sesuatu roh yang melemahkannya selama lapan belas tahun. Belakangnya bongkok lipat dua dan dia tidak dapat berdiri tegak.12Apabila Isa nampak perempuan itu, Dia memanggilnya dan berkata, ‘Sembuhlah daripada penyakitmu.’13Lalu Isa meletakkan tangan-Nya pada perempuan itu. Seketika itu juga, dia berdiri tegak dan memuji Allah.

14Tetapi ketua saumaah itu marah kerana Isa telah menyembuhkan orang pada hari Sabat. Lalu dia berkata kepada orang ramai, ‘Dalam seminggu ada enam hari yang dibenarkan untuk bekerja. Jadi, datanglah untuk disembuhkan pada salah satu hari itu dan bukannya pada hari Sabat.’

15Junjungan menjawab, ‘Kamu munafik! Bukankah kamu masing-masing melepaskan lembu atau keldaimu dari kandang untuk dibawa pergi minum pada hari Sabat?16Sekarang perempuan daripada keturunan Ibrahim ini telah dibelenggu oleh Iblis selama lapan belas tahun, tidak haruskah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabat?’

17Jawapan Isa memalukan semua musuh-Nya tetapi orang ramai bersukacita kerana segala perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Isa.

Ibarat biji sesawi dan ragi

18Isa berkata, ‘Bagaimanakah keadaan kerajaan Allah dan dengan apakah dapat Aku bandingkannya?19Keadaannya umpama biji sesawi yang ditanam orang di dalam kebunnya. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok lalu burung di udara membuat sarang pada cabang-cabangnya.’

20Isa berkata lagi, ‘Dengan apakah dapat Aku bandingkan kerajaan Allah?21Keadaannya umpama ragi dicampur oleh seorang perempuan dengan tiga gantang tepung sampai seluruh adunannya naik.’

Pintu yang sempit

22Dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, Isa melalui beberapa buah kota dan kampung sambil mengajar.23Seorang bertanya kepada-Nya, ‘Tuan, adakah segelintir sahaja yang akan diselamatkan?’

Isa menjawab,24‘Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa ramai orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya.25Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika kamu berdiri di luar mengetuk pintu sambil berkata, “Tuan, tuan, bukalah pintu.”

‘Tetapi dia akan menjawab, “Aku tidak tahu dari mana kamu datang.”

26‘Kemudian kamu akan berkata, “Kami telah makan dan minum bersama tuan, dan tuan mengajar di kota kami.”

27‘Tetapi tuan itu akan berkata, “Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Nyahlah, kamu semua yang melakukan kejahatan!”

28‘Di tempat itu akan terdapat ratapan dan kertakan gigi apabila kamu melihat Ibrahim, Ishak dan Yakub bersama semua nabi di dalam kerajaan Allah, tetapi kamu diusir keluar.29Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara serta selatan untuk menikmati jamuan di dalam kerajaan Allah.30Sesungguhnya, orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.’

Keluhan Isa terhadap Baitulmaqdis

31Pada masa itu beberapa orang Farisi datang kepada Isa dan berkata, ‘Pergilah dari sini ke tempat yang lain. Herodes hendak membunuh-Mu.’

32Isa menjawab, ‘Pergilah beritahu si musang, “Pada hari ini dan esok Aku mengusir roh-roh iblis serta menyembuhkan orang tetapi pada hari ketiga Aku akan menyelesaikan tugas-Ku.”33Namun, Aku harus meneruskan perjalanan pada hari ini, esok dan lusa. Seorang nabi tidak dibunuh di tempat lain kecuali di Baitulmaqdis.

34‘Baitulmaqdis, Baitulmaqdis! Engkau membunuh nabi-nabi dan merejam utusan-utusan Allah. Sudah beberapa kali Aku ingin menaungi semua pendudukmu seperti seekor ibu ayam melindungi anak-anaknya di bawah kepaknya, tetapi engkau tidak mahu.35Sekarang rumahmu akan ditinggalkan sama sekali. Aku berkata kepadamu bahawa kamu tidak akan melihat Aku sehingga tiba masanya kamu berkata, “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!” ’

14

Isa menyembuhkan seorang yang sakit

1Pada hari Sabat Isa pergi makan di rumah seorang Farisi yang terkemuka. Orang terus memerhatikan Isa dengan teliti.2Dan di situ seorang lelaki yang sakit busung berada di hadapan Isa3Kemudian Isa bertanya kepada ahli-ahli Taurat dan orang Farisi, ‘Adakah Taurat membenarkan orang disembuhkan pada hari Sabat atau tidak?’4Tetapi mereka diam sahaja. Lalu Isa memanggil orang itu dan menyembuhkannya serta menyuruhnya pulang.

5Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Jikalau lembu atau keldaimu jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, siapakah antara kamu yang tidak menariknya keluar dengan serta-merta pada hari Sabat itu juga?’6Mereka tidak dapat memberikan jawapan tentang perkara itu.

Murah hati dan rendah hati

7Ketika Isa melihat bagaimana tetamu memilih tempat duduk yang terbaik di jamuan itu, Dia mengatakan suatu ibarat kepada mereka:8‘Apabila kamu dijemput orang ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Mungkin seorang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput,9dan tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, “Berikanlah tempatmu kepada orang ini.” Lalu dengan malu sahaja kamu berpindah ke tempat yang paling belakang.10Oleh itu, apabila kamu dijemput orang, pergilah duduk di tempat yang paling belakang supaya tuan rumah datang dan berkata kepadamu, “Saudara, silakanlah ke tempat yang lebih baik.” Dengan itu, kamu mendapat penghormatan di hadapan semua orang jemputan itu.11Sesiapa yang memuliakan dirinya akan direndahkan dan yang merendahkan dirinya akan dimuliakan.’

12Kemudian Isa berkata kepada tuan rumah, ‘Apabila mengadakan suatu majlis makan tengah hari atau malam, janganlah jemput sahabat-sahabatmu atau adik-beradikmu atau sanak-saudaramu atau jiran tetanggamu yang kaya kerana mereka akan menjemputmu pula dan itulah sahaja balasan atas perbuatanmu.13Apabila mengadakan suatu jamuan, jemputlah orang miskin, orang kudung, orang tempang dan orang buta.14Diberkatilah kamu kelak kerana mereka tidak dapat membalas jemputanmu, tetapi kamu akan dianugerahi Allah pada hari kebangkitan orang yang benar daripada kematian.’

Ibarat jamuan besar

15Salah seorang jemputan itu mendengar kata-kata Isa lalu berkata, ‘Diberkatilah orang yang akan dijamu di dalam kerajaan Allah.’

16Isa berkata kepadanya: ‘Ada seorang yang mengadakan jamuan besar dan dia menjemput ramai orang.17Apabila tiba masanya, dia menyuruh hambanya pergi memberitahu para jemputannya, “Silakanlah, kerana semuanya siap sedia.”

18‘Tetapi masing-masing mula berdalih. Yang pertama berkata, “Aku telah membeli sebuah ladang dan aku harus pergi ke sana. Aku minta maaf.”

19‘Seorang yang lain berkata, “Aku telah membeli lima pasang lembu dan harus pergi mencuba lembu-lembu itu. Aku minta maaf.”

20‘Seorang yang lain lagi berkata, “Aku baru berkahwin. Oleh itu, aku tidak dapat datang.”

21‘Hamba itu pulang dan memberitahu tuannya hal ini. Tuan rumah itu sangat marah dan menyuruh hambanya, “Pergilah dengan segera ke jalan-jalan dan lorong-lorong kota dan bawalah orang miskin, orang kudung, orang buta dan orang tempang ke mari.”

22‘Hamba itu berkata, “Tuan, apa yang tuan suruh telah dilakukan tetapi masih ada tempat lagi.”

23‘Tuan rumah berkata kepada hambanya, “Pergilah ke jalan-jalan raya dan lorong-lorong di luar kota serta suruh orang datang supaya rumahku penuh.24Aku berkata kepadamu bahawa tiada seorang pun antara mereka yang telah dijemput itu, akan menikmati jamuanku ini.” ’

Pengorbanan menjadi pengikut Isa

25Orang ramai sedang mengiringi Isa apabila Dia berpaling dan berkata kepada mereka:26‘Jikalau seseorang datang kepada-Ku dan dia lebih mengasihi ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya, adik-beradiknya dan dirinya, dia tidak boleh menjadi pengikut-Ku.27Sesiapa yang tidak memikul salibnya dan mengikut-Ku tidak boleh menjadi pengikut-Ku.

28‘Jikalau seseorang antara kamu ingin membina sebuah menara, dia akan terlebih dahulu duduk dan menganggarkan perbelanjaannya untuk memastikan sama ada dia mempunyai wang yang cukup untuk menyiapkan pembinaan itu.29Jikalau dia sudah meletakkan asas menara itu, tetapi tidak dapat menyiapkan pembinaannya, semua orang yang melihat hal itu akan mengejeknya.30“Orang ini telah memulakan pembinaan itu, tetapi tidak dapat pula menyiapkannya.”

31‘Jikalau seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak keluar berperang dengan raja lain yang membawa dua puluh ribu orang askar untuk menyerangnya, dia akan mempertimbangkan dahulu sama ada dia cukup kuat untuk menentang raja tersebut.32Kalau dia tidak dapat berbuat demikian, dia akan memerintah utusan-utusannya untuk bertanyakan syarat-syarat perdamaian semasa musuhnya masih jauh lagi.33Begitu juga sesiapa antara kamu yang tidak meninggalkan segala miliknya, tidak boleh menjadi pengikut-Ku.

34‘Garam itu baik tetapi jikalau menjadi tawar, bagaimanakah garam itu dapat dimasinkan semula?35Garam itu tidak berguna untuk menyuburkan tanah atau dijadikan baja kecuali dibuang sahaja. Orang yang bertelinga, dengarlah.’

15

Domba yang hilang

1Pada suatu hari semua pemungut cukai dan orang yang berdosa datang mendengar Isa.2Orang Farisi dan guru-guru Taurat bersungut-sungut, ‘Orang ini menyambut orang berdosa dan makan bersama mereka.’

3Isa pun mengatakan ibarat ini kepada mereka.4‘Jikalau seorang antara kamu mempunyai seratus ekor domba lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba di padang lalu pergi mencari domba yang hilang itu sehingga ditemukannya.5Setelah dia menemukannya, dia memikul domba itu di atas bahunya.6Setibanya di rumah, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya lalu berkata, “Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan domba aku yang hilang itu.”7Aku berkata kepadamu bahawa begitu jugalah kegembiraan di syurga kerana seorang yang berdosa bertaubat lebih daripada kegembiraan ke atas sembilan puluh sembilan orang yang benar yang tidak perlu bertaubat.

Wang yang hilang

8‘Atau seandainya seorang perempuan yang mempunyai sepuluh keping wang perak kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita lalu menyapu rumah dan mencari dengan cermat sehingga dia menemukannya kembali.9Setelah itu, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya dan berkata, “Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan sekeping wang yang hilang itu.”10Aku berkata kepadamu bahawa malaikat-malaikat Allah bergembira kerana seorang yang berdosa bertaubat.’

Anak lelaki yang hilang

11Isa berkata seterusnya: ‘Ada seorang yang mempunyai dua orang anak lelaki.12Anak bongsu berkata kepada bapanya, “Ayah, berilah aku sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.” Lalu bapa itu membahagikan hartanya kepada kedua-dua anaknya itu.

13‘Tidak lama kemudian, yang bongsu itu menjual hartanya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya.14Setelah dia menghabiskan kesemua wangnya, suatu kebuluran yang teruk berlaku di negeri itu dan dia dalam keadaan serba kekurangan.15Dia pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu dan disuruh menjaga babi di ladangnya.16Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya.

17‘Akhirnya, dia sedar dan berkata, “Semua orang gaji bapaku dapat makan sehingga kenyang, tetapi aku ini hampir mati kelaparan!18Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya: Ayah, aku telah berbuat dosa kepada Allah dan kepada ayah.19Aku tidak layak disebut sebagai anak ayah. Jadikanlah aku ini sebagai salah seorang gaji ayah.”20Dia pun kembali kepada bapanya.

‘Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya.

21‘Anak itu berkata kepada bapanya, “Ayah, aku telah berbuat dosa kepada Allah dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut anak ayah.”

22‘Bapa itu menyuruh hamba-hambanya, “Segeralah ambil pakaian yang terbaik dan pakaikanlah kepada anakku. Sarungkan sebentuk cincin di jarinya dan pakaikan kasut pada kakinya.23Pilihlah dan sembelihlah anak lembu yang tambun, dan marilah kita mengadakan jamuan dan bersuka ria;24kerana anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah sesat dan ditemui kembali.” Lalu mereka mula bersuka ria.

25‘Pada masa itu anak sulung bekerja di ladang. Apabila dia pulang ke rumah, dia terdengar bunyi muzik dan orang menari-nari.26Dia memanggil seorang hamba lalu bertanya, “Apakah yang sedang berlaku ini?”27Hamba itu menjawab, “Adik tuan telah pulang dan bapa tuan telah menyembelih anak lembu yang tambun kerana adik tuan pulang dengan selamatnya.”

28‘Anak sulung itu sangat marah sehingga dia tidak mahu masuk ke dalam rumah. Ayahnya keluar lalu memujuk dia.29Anak sulung itu berkata, “Tengoklah, bertahun-tahun aku bekerja untuk ayah. Aku tidak pernah melanggar perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepada aku supaya aku dapat bersuka ria dengan sahabat-sahabatku.30Namun sepulangnya anak ayah ini yang telah memboroskan harta ayah dengan perempuan-perempuan sundal, ayah menyembelih anak lembu yang tambun untuknya!”

31‘Bapa itu berkata kepadanya, “Anakku, engkau ini sentiasa bersama ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu.32Kita patut bersuka ria kerana adikmu ini telah mati dan hidup kembali; dia telah sesat dan ditemui kembali.” ’

16

Pengurus yang cerdik

1Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Seorang kaya mempunyai seorang pengurus untuk harta bendanya. Dia diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang tuannya.2Tuan itu memanggil pengurus itu lalu berkata, “Apakah yang telah kudengar tentangmu? Serahkanlah kira-kira yang lengkap bagi semua hartaku kerana kamu tidak boleh menjadi pengurus lagi.”

3‘Pengurus itu berkata kepada dirinya, “Apakah harus aku buat? Aku tidak kuat untuk mencangkul dan aku malu meminta sedekah.4Aku tahu apa yang harus aku buat supaya apabila aku dipecat nanti daripada jawatan pengurus itu, aku ada ramai sahabat yang akan menerimaku ke rumah mereka.”

5‘Dia pun memanggil semua orang yang berhutang kepada tuannya. Dia berkata kepada orang yang pertama, “Berapakah hutangmu kepada tuan aku?”

6‘Orang itu menjawab, “Seratus tong minyak zaitun.”

Pengurus itu berkata, “Inilah kira-kiramu. Duduk dan tulislah lima puluh.”

7‘Dia berkata kepada seorang yang lain, “Berapakah hutangmu pula?”

‘Orang itu menjawab, “Seratus pikul gandum.”

‘Pengurus itu berkata, “Inilah kira-kiramu. Tulislah lapan puluh.”

8‘Tuan itu memuji pengurus yang tidak jujur itu kerana perbuatannya yang cerdik. Orang duniawi lebih cerdik menguruskan pekerjaan mereka daripada orang yang hidup dalam nur.9Aku berkata kepadamu supaya menggunakan kekayaan dunia untuk mendapat sahabat bagi dirimu. Apabila kekayaanmu lenyap, kamu akan disambut ke tempat kediaman yang kekal.

10‘Orang yang setia dalam perkara yang kecil akan setia juga dalam perkara yang besar; dan orang yang tidak setia dalam perkara yang kecil tidak akan setia dalam perkara yang besar.11Oleh itu, jikalau kamu tidak setia dalam kekayaan dunia ini, siapakah yang akan mengamanahkan kekayaan yang sejati kepadamu?12Dan jikalau kamu tidak setia dengan milik orang lain, siapakah pula yang akan memberimu apa yang menjadi milik kamu sendiri?

13‘Tiada seorang hamba yang dapat menghambakan diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci seorang dan mengasihi seorang lagi ataupun dia akan taat kepada seorang dan menghina seorang lagi. Kamu tidak dapat bekerja untuk Allah dan untuk kekayaan.’

14Orang Farisi yang mendengar kata-kata Isa mengejek-Nya kerana mereka loba akan wang.15Isa berkata kepada mereka, ‘Kamulah orang yang berpura-pura bertakwa di hadapan khalayak ramai, tetapi Allah mengetahui isi hatimu. Apa yang dianggap berharga oleh manusia tidak ada nilainya di sisi Allah.

Beberapa ajaran Isa

16‘Sebenarnya, hukum Taurat dan kitab segala nabi berkuatkuasa sehingga zaman Yahya. Semenjak itu, perkhabaran baik tentang kerajaan Allah diberitakan, dan orang berasak-asak hendak memasukinya.17Tetapi lebih mudah lenyapnya langit dan bumi daripada hilangnya sepatah kata pun hukum Taurat.

18‘Sesiapa yang menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, berzina. Begitu juga dengan lelaki yang berkahwin dengan seorang perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya.

Orang kaya dan Lazarus

19‘Ada seorang kaya yang berpakaian mahal-mahal dan hidup dalam kemewahan setiap hari.20Ada pula seorang peminta sedekah bernama Lazarus yang penuh dengan pekung. Dia selalu dibawa ke muka pintu rumah orang kaya itu.21Dia ingin mendapat sisa-sisa makanan yang dibuang dari meja orang kaya itu. Anjing pula datang menjilat pekung-pekungnya.

22‘Peminta sedekah itu mati dan malaikat-malaikat membawanya ke sisi Ibrahim di syurga. Orang kaya itu pun mati lalu dikebumikan.23Dia menderita di alam maut. Apabila dia memandang ke atas, dia nampak Ibrahim jauh di sana dan Lazarus di sisinya.24Dia berseru, “Bapa Ibrahim, kasihanilah aku dan suruh Lazarus datang mencelupkan jarinya di dalam air untuk menyejukkan lidahku kerana aku sengsara di dalam nyala api ini.”

25‘Tetapi Ibrahim berkata, “Anakku, ingatlah bahawa engkau telah menikmati kesenangan pada masa hidupmu, tetapi Lazarus mengalami kesengsaraan. Sekarang Lazarus senang di sini tetapi engkau menderita.26Selain itu, terdapat satu jurang yang dalam di antara kami dengan kamu supaya orang yang hendak menyeberang dari sini kepada kamu tidak dapat berbuat demikian, dan orang dari sana tidak dapat menyeberang kepada kami.”

27‘Orang kaya itu berkata, “Jikalau begitu, aku memohon, ya bapa, suruh Lazarus ke rumah ayahku28kerana aku mempunyai lima adik-beradik lelaki. Biarlah Lazarus pergi memberikan amaran kepada mereka supaya mereka tidak datang ke tempat sengsara ini.”

29‘Ibrahim berkata, “Mereka ada kitab Musa dan nabi-nabi. Biarlah mereka mendengar pengajaran itu.”

30‘Orang kaya itu berkata, “Itu tidak cukup, Bapa Ibrahim. Jikalau seorang antara orang mati pergi kepada mereka, tentu mereka akan bertaubat daripada dosa-dosa mereka.”

31‘Tetapi Ibrahim berkata, “Jikalau mereka tidak mahu mendengar pengajaran kitab Musa dan nabi-nabi, mereka tidak akan percaya sekalipun seorang bangkit daripada kematian.” ’

17

Dosa, iman dan kewajipan seorang hamba

1Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Hal yang membuat orang melakukan dosa memang ada, tetapi malangnya bagi orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku.2Lebih baik bagi dia jikalau sebuah batu kisar diikat pada lehernya dan dia dibuang ke dalam laut, daripada dia menyebabkan salah seorang yang lemah melakukan dosa.3Berwaspadalah!

‘Jikalau saudaramu telah berbuat salah terhadapmu, tegurlah dia dan jikalau dia bertaubat, ampunilah dia.4Jikalau dia bersalah sebanyak tujuh kali terhadapmu dalam sehari dan setiap kali dia datang kepadamu serta berkata, “Aku bertaubat,” kamu hendaklah mengampuninya.’

5Rasul-rasul itu berkata kepada Junjungan, ‘Kuatkanlah iman kami.’

6Junjungan menjawab, ‘Jikalau kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu akan dapat berkata kepada pokok ara ini, “Tercabutlah akar-akarmu dan tertanamlah kamu di laut,” dan pokok ara akan menurut perintahmu.

7‘Jikalau salah seorang kamu mempunyai hamba yang membajak atau menggembalakan domba, siapakah antara kamu akan berkata kepadanya sewaktu dia pulang dari ladang, “Mari, lekas duduk makan?”8Bukankah kamu akan berkata kepadanya, “Hidangkan makanan dan bersedia untuk melayaniku semasa aku makan. Selepas itu, barulah kamu makan”?9Adakah kamu mengucapkan terima kasih kepada hamba itu kerana dia menurut perintah?10Begitu juga dengan kamu. Apabila kamu telah berbuat segala yang diperintahkan kepadamu, kamu hendaklah berkata, “Kami ini hamba yang tidak layak menerima apa-apa; kami cuma menjalankan kewajipan kami.” ’

Isa menyembuhkan sepuluh orang berpenyakit kusta

11Dalam perjalanan Isa ke Baitulmaqdis, Dia melalui sempadan Samaria dan Galilea.12Apabila Dia memasuki sebuah kampung, sepuluh orang berpenyakit kusta datang bertemu dengan-Nya. Mereka berdiri jauh sedikit daripada Isa13dan berseru kepada-Nya, ‘Ya Isa, ya Junjungan, kasihanilah kami!’

14Apabila Isa melihat mereka, Dia berkata kepada mereka, ‘Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam-imam.’ Dalam perjalanan, mereka pun sembuh.

15Salah seorang daripada mereka ketika melihat dirinya sembuh, kembali dan memuji Allah dengan suara yang kuat.16Dia sujud pada kaki Isa dan mengucapkan terima kasih. Dia seorang Samaria.

17Isa bertanya, ‘Sepuluh orang disembuhkan. Di manakah sembilan orang lagi?18Tiadakah seorang pun didapati kembali untuk bersyukur kepada Allah kecuali orang bangsa asing ini?’19Isa pun berkata kepadanya, ‘Bangunlah dan pergi. Imanmu telah menyembuhkan kamu.’

Kedatangan kerajaan Allah

20Terdapat beberapa orang Farisi bertanya kepada Isa bila kerajaan Allah akan datang dan Isa menjawab, ‘Kerajaan Allah tidak datang dengan alamat-alamat yang dapat dilihat.21Tiada orang akan berkata, “Lihatlah di sini!” atau “Lihatlah di sana!” kerana kerajaan Allah sebenarnya ada di dalam kamu.’

22Kemudian Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Masanya akan datang apabila kamu ingin melihat salah satu hari Putera Insan, tetapi kamu tidak dapat melihatnya.23Orang akan berkata kepadamu, “Lihat di situ!” atau “Lihat di sini!” Tetapi janganlah kamu pergi atau mengikutnya.24Seperti kilat memancar dari sebelah kaki langit ke sebelah yang lain, demikianlah juga halnya Putera Insan pada hari-Nya kelak.25Tetapi terlebih dahulu Dia akan mengalami banyak penderitaan dan Dia tidak akan diterima oleh orang zaman ini.

26‘Sebagaimana yang berlaku pada zaman Nuh, demikian juga akan berlaku pada zaman Putera Insan.27Mereka makan dan minum. Lelaki dan perempuan berkahwin sampai ke hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Lalu air bah melanda dan membinasakan mereka semua.

28‘Demikian juga yang berlaku pada zaman Lut. Mereka makan dan minum, berjual beli, bercucuk tanam dan mendirikan rumah.29Pada hari Lut keluar dari Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua.

30‘Begitulah keadaannya kelak pada hari Putera Insan menunjukkan diri-Nya.31Pada hari itu jikalau seseorang ada di atas bumbung rumah, janganlah dia turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Demikian juga janganlah orang yang ada di ladang kembali ke rumahnya.32Ingatlah akan isteri Lut!33Sesiapa yang cuba memelihara nyawanya akan kehilangannya, tetapi sesiapa yang sanggup mengorbankan nyawanya akan menyelamatkannya.34Aku berkata kepadamu bahawa pada malam itu dua orang berbaring di atas sebuah katil. Seorang akan dibawa dan seorang lagi akan ditinggalkan.35Dua orang perempuan bersama-sama mengisar gandum. Seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.36Dua orang lelaki bekerja di ladang. Seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.’

37Mereka bertanya kepada Isa, ‘Di manakah, ya Junjungan?’

Isa menjawab, ‘Di mana ada bangkai, di situ juga ada burung nasar.’

18

Ibarat seorang balu dan seorang hakim

1Kemudian Isa menceritakan ibarat ini untuk mengajar mereka bahawa mereka harus sentiasa berdoa dan tidak putus asa.2Isa berkata, ‘Di dalam sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah atau mempedulikan sesiapa.3Di kota itu juga ada seorang balu yang kerapkali datang kepada hakim itu untuk menuntut keadilan terhadap lawannya.

4‘Sekian lama hakim itu menolak tuntutannya, tetapi akhirnya dia berkata dalam hatinya, ‘Walaupun aku tidak takut akan Allah dan tidak pedulikan sesiapapun,5tetapi disebabkan balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku mengadili tuntutannya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan mengganggu aku!’

6Junjungan menambah, ‘Dengarlah apa yang dikatakan oleh hakim yang tidak adil itu.7Tidakkah Allah akan membela umat-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam? Adakah Dia akan bertangguh untuk melaksanakan keadilan bagi mereka?8Aku berkata kepadamu bahawa Allah akan melaksanakan keadilan bagi mereka dengan segera. Tetapi, apabila Putera Insan datang, adakah Dia akan menjumpai iman di bumi ini?’

Ibarat seorang Farisi dan seorang pemungut cukai

9Isa juga menceritakan ibarat ini kepada orang yang menganggap diri mereka sebagai orang yang benar dan menghina orang lain:10‘Dua orang masuk ke dalam rumah ibadat untuk berdoa. Seorang daripadanya orang Farisi dan seorang lagi pemungut cukai.11Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya: “Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu kerana aku tidak tamak, menipu atau tidak bermoral seperti orang lain. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini.12Aku berpuasa dua kali seminggu dan mempersembahkan sepersepuluh daripada semua pendapatanku.”

13‘Akan tetapi, pemungut cukai itu berdiri jauh sedikit, tidak berani menengadah ke langit melainkan menebah dada sambil berkata, “Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini.”

14‘Aku berkata kepadamu bahawa pemungut cukai ini pulang ke rumahnya dengan diperkenankan Allah tetapi orang Farisi itu tidak. Sesiapa yang meninggikan dirinya akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan dirinya akan ditinggikan.’

Isa memberkati kanak-kanak

15Orang membawa anak mereka kepada Isa supaya Dia memberkati mereka. Tetapi apabila pengikut-pengikut Isa melihat hal ini, mereka menegur orang itu.16Namun Isa memanggil anak-anak itu datang kepada-Nya lalu Dia berkata, ‘Biarlah anak-anak ini datang kepada-Ku. Janganlah melarang mereka kerana kerajaan Allah menjadi milik orang yang sedemikian.17Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa yang tidak menyambut kerajaan Allah seperti seorang anak menerimanya, tidak dapat masuk ke dalam kerajaan itu.’

Seorang yang kaya

18Seorang pemimpin bangsa Yahudi bertanya kepada Isa, ‘Ya Guru yang baik, apakah harus aku buat untuk beroleh hidup yang kekal?’

19Isa menjawab, ‘Mengapakah engkau mengatakan Aku ini baik? Tiada sesiapapun yang baik kecuali Allah.20Engkau mengetahui hukum-hukum Allah, iaitu: “Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan berdusta, hormati bapa dan ibumu.” ’

21Pemimpin itu berkata, ‘Semua ini telah kuturuti sejak kecil.’

22Apabila Isa mendengar ini, Dia berkata kepadanya, ‘Satu perkara sahaja yang perlu kaulakukan. Juallah segala hartamu dan dermakan wangnya kepada orang miskin. Engkau akan beroleh harta di syurga. Kemudian, ikutlah Aku.’

23Tetapi apabila pemimpin itu mendengar demikian, dia menjadi sangat sedih kerana dia seorang yang amat kaya.24Isa nampak kesedihannya lalu berkata, ‘Alangkah sukar bagi orang kaya masuk ke dalam kerajaan Allah!25Lebih mudah seekor unta masuk ke lubang jarum daripada seorang kaya masuk ke dalam kerajaan Allah.’

26Orang yang mendengar-Nya berkata, ‘Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?’

27Isa menjawab, ‘Apa yang mustahil bagi manusia itu tidak mustahil bagi Allah.’

28Petrus berkata, ‘Kami telah meninggalkan rumah untuk mengikut-Mu.’

29Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa sahaja yang telah meninggalkan rumah, atau isteri, atau adik-beradik, atau ibu bapa, atau anak-anak demi kerajaan Allah30akan menerima ganjaran berkali-kali gandanya pada masa ini dan hidup yang kekal di akhirat.’

Kali ketiga Isa berkata tentang kematian-Nya

31Isa membawa dua belas pengikut-Nya ke suatu tempat dan berkata kepada mereka, ‘Kita akan pergi ke Baitulmaqdis dan segala yang tersurat dalam kitab-kitab nabi tentang Putera Insan akan berlaku di sana.32Dia akan diserahkan ke tangan bangsa asing. Dia akan dicela dan dimaki serta diludahi orang. Mereka akan menyebat Dia dan membunuh-Nya.33Pada hari yang ketiga Dia akan bangkit semula.’

34Tetapi pengikut-pengikut-Nya tidak mengerti sepatah kata pun. Maksud kata-kata ini dirahsiakan daripada mereka. Mereka tidak memahami apa yang dikatakan oleh Isa.

Isa menyembuhkan seorang pengemis yang buta

35Ketika Isa menghampiri kota Yerikho, ada seorang buta yang duduk di tepi jalan meminta sedekah.36Apabila dia mendengar bunyi orang ramai lalu, dia bertanya, ‘Apakah yang sedang berlaku?’37Orang memberitahu dia bahawa Isa, orang Nasaret, sedang lalu.

38Dia pun berseru, ‘Isa, Anak Daud, kasihanilah aku!’

39Orang yang di hadapannya memarahinya dan menyuruh dia diam, tetapi dia berseru dengan lebih kuat, ‘Ya Anak Daud, kasihanilah aku!’

40Isa berhenti dan menyuruh orang membawa dia kepada-Nya. Apabila dia mendekati Isa, Isa bertanya,41‘Apakah yang engkau hendak Aku buat bagimu?’

Dia berkata, ‘Junjungan, aku mahu melihat kembali.’

42Isa berkata kepadanya, ‘Terimalah penglihatanmu kembali, imanmu telah menyembuhkanmu.’43Seketika itu juga, dia dapat melihat lalu dia mengikut Isa sambil memuji Allah. Semua orang yang menyaksikan kejadian ini memuji Allah.

19

Isa dengan Zakheus

1Isa meneruskan perjalanan ke Yerikho dan melalui kota itu.2Di situ ada seorang yang bernama Zakheus. Dia ketua pemungut cukai dan sangat kaya.3Dia cuba hendak melihat siapa Isa itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana orang terlalu ramai dan dia pendek orangnya.4Dia pun berlari mendahului mereka lalu memanjat pokok ara untuk melihat Isa yang akan melalui jalan itu.

5Apabila Isa sampai ke tempat itu, Dia mendongak ke atas lalu berkata kepadanya, ‘Zakheus, turunlah dengan segera kerana pada hari ini Aku harus menumpang di rumahmu.’6Zakheus turun dengan segera dan menyambut Isa dengan sukacitanya.

7Semua orang yang melihat hal ini bersungut-sungut, ‘Dia hendak menumpang di rumah orang yang berdosa pula!’

8Tetapi Zakheus berdiri dan berkata kepada Junjungan, ‘Tuan, sekarang ini juga aku hendak memberikan separuh hartaku kepada orang miskin, dan jikalau aku telah menipu sesiapa, aku akan membayarnya kembali empat kali ganda.’

9Isa berkata kepadanya, ‘Pada hari ini juga penyelamatan telah datang kepada seluruh keluarga kamu kerana kamu juga seorang keturunan Ibrahim.10Putera Insan datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.’

Ibarat tentang kepingan wang emas

11Isa menceritakan sebuah ibarat kepada mereka yang mendengar-Nya. Dia kini telah hampir tiba ke Baitulmaqdis dan mereka menyangka bahawa kerajaan Allah akan menjadi nyata tidak lama lagi.12Jadi, Isa berkata: ‘Seorang bangsawan telah berangkat ke negeri jauh untuk dilantik menjadi raja dan akan kembali.13Terlebih dahulu dia memanggil sepuluh orang hambanya, lalu memberi masing-masing sekeping wang emas dan berkata kepada mereka, “Uruskanlah wang ini sehingga aku pulang.”

14‘Tetapi rakyat negeri itu membencinya dan menyuruh utusan-utusan untuk memberitahunya, “Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.”

15‘Setelah dia menjadi raja, dia kembali dan memerintah hamba-hamba yang telah diberi wang emas datang menghadapnya dengan segera. Dia ingin mengetahui jumlah keuntungan dalam perniagaan masing-masing.

16‘Yang pertama menghadap dan berkata, “Tuan, sekeping wang emas tuan itu telah menjadi sepuluh kali lebih banyak.”

17‘Tuan itu berkata kepadanya, “Bagus sekali, hamba yang baik. Oleh sebab engkau telah setia dalam perkara kecil ini, aku akan menjadikan engkau penguasa sepuluh buah kota.”

18‘Yang kedua menghadap dan berkata, “Tuan, sekeping wang emas tuan itu telah menjadi lima kali lebih banyak.”

19‘Tuan itu berkata kepadanya, “Engkau akan menjadi penguasa lima buah kota.”

20‘Seorang hamba lagi menghadap dan berkata, “Tuan inilah wang emas tuan yang telah aku simpan di dalam sehelai kain.21Aku takut akan tuan kerana tuan seorang yang keras hati. Tuan mengambil apa yang bukan milik tuan, dan menuai apa yang tidak tuan taburkan.”

22‘Tuan itu berkata, “Hamba yang tidak berguna! Aku akan menghukum engkau mengikut kata-katamu sendiri. Engkau mengetahui aku ini seorang yang keras hati, mengambil barang yang bukan milikku dan menuai apa yang tidak aku taburkan.23Jadi, mengapakah engkau tidak memasukkan wang itu ke dalam tabung? Kemudian, setelah aku kembali, dapatlah aku ambil wang itu dengan faedahnya.”

24‘Lalu tuan itu berkata kepada orang yang berdiri di situ, “Ambillah keping wang itu daripadanya dan berikannya kepada orang yang ada sepuluh keping wang emas itu.”

25‘Mereka pun berkata kepadanya, “Tuan, dia sudah ada sepuluh keping.”

26‘Tuan itu berkata, “Orang yang sedia ada akan diberi lebih banyak, dan orang yang tidak mempunyai sesuatu akan diambil barang yang ada padanya.27Sekarang, bawalah ke mari seteru-seteruku yang tidak mahu aku menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka di hadapanku.” ’

Isa masuk ke Baitulmaqdis

28Setelah Isa berkata demikian, Dia pun berjalan mendahului mereka menuju ke Baitulmaqdis.29Apabila Dia mendekati Baitfagi dan Baitani di Bukit Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya dengan berkata kepada mereka,30‘Pergilah ke kampung di hadapan itu. Apabila kamu masuk ke kampung itu, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang tertambat. Anak keldai itu belum pernah ditunggangi orang. Lepaskan keldai itu dan bawa ke mari.31Jikalau ada orang bertanya kepadamu, “Mengapakah kamu melepaskan keldai?” kamu hendaklah berkata kepadanya, “Junjungan memerlukannya.” ’

32Kedua-dua pengikut itu pun pergi dan mendapati sebagaimana yang telah dikatakan Isa kepada mereka.33Ketika mereka melepaskan anak keldai itu, tuan anak keldai itu berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu melepaskan anak keldai ini?’

34Pengikut-pengikut itu menjawab, ‘Junjungan memerlukannya.’

35Lalu mereka membawanya kepada Isa. Kemudian, mereka menghamparkan jubah mereka di atas anak keldai itu dan menolong Isa naik ke atasnya.36Ketika Isa menunggang keldai itu, orang ramai pun membentangkan jubah mereka di jalan.

37Apabila Dia menghampiri jalan yang turun dari Bukit Zaitun, semua pengikut-Nya mula bersukacita dan memuji Allah dengan suara yang kuat kerana semua mukjizat yang telah disaksikan oleh mereka:

38‘Diberkatilah Raja yang datang

dengan nama Tuhan!’

‘Kesejahteraan di syurga

dan kemuliaan di tempat yang maha tinggi!’

39Antara orang ramai itu ada beberapa orang Farisi yang berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, suruh pengikut-pengikut-Mu diam.’

40Isa menjawab, ‘Aku berkata kepadamu bahawa jikalau mereka diam, batu-batu pula akan bersorak.’

Tangisan Isa bagi Baitulmaqdis

41Ketika Isa menghampiri Baitulmaqdis dan melihat kota itu, Dia pun menangisinya,42lalu berkata, ‘Kalaulah kiranya pada hari ini engkau mengetahui perkara-perkara yang dapat membawa sejahtera kepadamu! Tetapi sekarang semuanya dirahsiakan daripadamu.43Masanya akan datang apabila musuh-musuhmu akan mengelilingimu dengan sekatan, mengepung dan mengasakmu dari semua arah.44Mereka akan membinasakanmu dan semua pendudukmu. Mereka tidak akan meninggalkan seketul batu pun di tempatnya kerana kamu tidak mengetahui masanya Allah datang kepadamu.’

Isa pergi ke rumah ibadat

45Isa masuk ke dalam rumah ibadat lalu mengusir semua pedagang di situ.46Dia berkata kepada mereka, ‘Telah tersurat, “Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa”; tetapi kamu telah menjadikannya “sarang pencuri.” ’

47Setiap hari Isa mengajar di dalam rumah ibadat. Ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan para pemimpin mereka mencari jalan untuk membunuh-Nya48tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian kerana orang ramai terus-menerus datang mendengar Isa dan mereka tidak mahu terlepas sepatah kata Isa pun.

20

Kekuasaan Isa dipersoalkan

1Pada suatu hari ketika Isa mengajar orang ramai di dalam rumah ibadat dan memberitakan perkhabaran yang baik, ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan para tua-tua datang kepada Isa.2Mereka berkata kepada-Nya, ‘Katakanlah kepada kami atas kuasa siapakah Engkau laksanakan segala perkara ini. Siapakah yang memberikan kuasa ini kepada-Mu?’

3Isa menjawab, ‘Aku juga hendak bertanya kepadamu suatu perkara. Katakanlah kepada-Ku4pengimadan Yahya itu datang daripada siapa, syurga atau manusia?’

5Mereka berbincang sesama sendiri, ‘Jikalau kita katakan, “Daripada syurga,” Dia akan berkata, “Jikalau begitu, mengapakah kamu tidak percaya kepadanya?”6Sebaliknya, jikalau kita katakan, “Daripada manusia,” orang ramai sudah tentu akan merejam kita kerana mereka yakin bahawa Yahya itu seorang nabi.’

7Mereka pun menjawab kepada Isa bahawa mereka tidak mengetahui dari mana asalnya pengimadan Yahya itu.

8Oleh itu, Isa pun berkata kepada mereka, ‘Aku juga tidak akan memberitahu kamu atas kuasa siapa Aku melakukan segala perkara ini.’

Ibarat tentang penyewa ladang

9Kemudian Isa menceritakan ibarat ini kepada orang ramai: ‘Seorang menanami ladang anggur. Dia menyewakan ladang itu kepada beberapa orang petani lalu berangkat ke negeri lain dan tinggal beberapa lama di situ.10Pada musim buah-buahan dia menyuruh seorang hamba pergi kepada petani-petani itu untuk menerima hasil buah-buahan bahagiannya daripada mereka tetapi petani-petani itu memukul hamba tersebut lalu mengusirnya balik dengan tangan kosong.11Pemilik ladang itu menyuruh seorang hamba yang lain pula. Tetapi petani-petani itu memukulnya, mencercanya dan mengusirnya dengan tangan kosong juga.12Pemilik ladang itu menyuruh hamba yang ketiga. Tetapi petani-petani itu mencederakannya lalu mengusirnya.

13‘Pemilik ladang itu berkata, “Apakah yang hendak kubuat? Baik kusuruh puteraku yang kukasihi. Tentu petani-petani itu akan menghormatinya.”

14‘Tetapi apabila petani-petani itu melihatnya, mereka berbincang sesama sendiri, “Inilah warisnya. Marilah kita bunuh dia supaya ladang ini menjadi hak kita.”15Mereka pun mengusirnya keluar dari ladang lalu membunuhnya.’

Isa bertanya, ‘Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang terhadap petani-petani tersebut?16Sudah tentu dia akan datang dan membunuh petani-petani itu lalu menyewakan ladang anggur itu kepada orang lain pula.’

Setelah orang ramai itu mendengar ibarat ini, mereka berkata, ‘Semoga tidak begitu!’

17Tetapi Isa memandang mereka dan bertanya, ‘Kalau begitu, apakah maksud ayat yang tersurat ini:

‘ “Batu yang dibuang oleh pembina

telah menjadi batu penjuru?”

18‘Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur luluh, dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk-redam.’

Pertanyaan tentang pembayaran cukai

19Guru-guru Taurat dan ketua-ketua imam mencari jalan hendak menangkap Isa ketika itu juga kerana mereka mengetahui Isa telah menujukan ibarat itu terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai.

20Mereka menunggu peluang. Lalu mereka mengutus beberapa orang supaya berpura-pura ikhlas untuk memerangkap Isa dengan mengemukakan pertanyaan tertentu supaya mereka dapat menyerahkan Isa ke dalam kawalan dan bidang penghakiman gabenor.21Mereka bertanya kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami mengetahui apa yang Tuan Guru katakan dan ajarkan itu betul. Kami juga mengetahui Tuan Guru tidak pilih kasih kepada seseorang tetapi dengan ikhlas mengajarkan jalan Allah.22Beritahulah kami, mengikut Taurat patutkah kami membayar cukai kepada Kaisar?’

23Isa mengetahui niat muslihat mereka lalu berkata,24‘Tunjukkanlah Aku sekeping mata wang. Gambar dan nama siapakah ini?’

25Mereka menjawab, ‘Gambar dan nama Kaisar.’

Isa berkata kepada mereka, ‘Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.’

26Oleh yang demikian, mereka tidak dapat memerangkap Isa di hadapan orang ramai itu. Mereka diam sahaja kerana kagum akan jawapan-Nya.

Pertanyaan tentang kebangkitan daripada maut

27Beberapa orang Saduki, iaitu orang yang menafikan hal kebangkitan orang mati, datang bertanya kepada Isa,28‘Tuan Guru, Musa telah memberi kita hukum berikut. Jikalau seseorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, adik lelakinya harus beristerikan balu itu untuk mendapatkan anak bagi si abang yang telah meninggal itu.29Ada tujuh orang adik-beradik lelaki. Yang pertama mati tanpa mempunyai anak.30Yang kedua beristerikan balunya,31kemudian yang ketiga dan seterusnya kepada semua yang lain — mereka semua meninggal tanpa mempunyai anak.32Akhirnya, perempuan itu pun meninggal.33Pada hari kebangkitan orang mati kelak, perempuan itu menjadi isteri siapa kerana ketujuh-tujuh adik-beradik itu telah beristerikannya.’

34Isa menjawab, ‘Lelaki dan perempuan yang hidup sekarang ini berkahwin35tetapi mereka yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin.36Mereka itu seperti malaikat dan tidak boleh mati lagi. Mereka menjadi anak Allah kerana mereka telah dibangkitkan daripada kematian.37Musa telah menjelaskan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Dalam kisah belukar yang bernyala, Allah disebut sebagai Tuhan yang disembah oleh Ibrahim, Ishak dan Yakub.38Allah bukannya Tuhan bagi orang mati tetapi bagi orang yang hidup. Mereka itu semua hidup pada Allah.’

39Beberapa orang ahli Taurat berkata, ‘Tuan Guru, betul jawapan-Mu.’40Mereka tidak berani bertanya kepada Isa apa-apa lagi.

Pertanyaan tentang al-Masih

41Isa berkata kepada mereka, ‘Bagaimana dikatakan bahawa al-Masih itu anak Daud42sedangkan Daud sendiri berkata dalam kitab Zabur:

‘ “Tuhan berfirman kepada Junjunganku:

‘Duduklah di sebelah kanan-Ku

43sehingga Aku menjadikan musuh-Mu

alas kaki-Mu.’ ”

44‘Jikalau Daud menyebut Dia “Junjungan,” bagaimanakah pula Dia anak Daud?’

45Di hadapan orang ramai itu Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,46‘Berhati-hatilah dengan guru-guru Taurat yang suka berjalan-jalan berjubah labuh, suka dihormati di tempat orang ramai, suka mendapatkan tempat terbaik di saumaah dan terhormat di majlis makan.47Mereka memperdaya balu dan merampas harta mereka tetapi kemudian berpura-pura berdoa dengan panjangnya! Mereka akan menerima hukuman yang paling berat.’

21

Persembahan seorang balu

1Isa memandang di sekeliling lalu nampak orang kaya memasukkan wang persembahan mereka ke dalam peti persembahan di rumah ibadat.2Dia nampak juga seorang balu yang sangat miskin memasukkan dua keping wang tembaga.3Lalu Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa balu yang miskin ini telah memasukkan lebih banyak daripada semua yang lain,4kerana yang lain memasukkan persembahan daripada kemewahan masing-masing tetapi perempuan ini walaupun sangat miskin, telah memasukkan seluruh nafkahnya.’

Robohnya rumah ibadat

5Beberapa orang berkata-kata tentang rumah ibadat yang dihiasi dengan batu-batu permata yang indah serta barang-barang yang dipersembahkan kepada Allah.6Isa pun berkata, ‘Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan dan tiada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya.’

Kesusahan dan penganiayaan

7Mereka bertanya kepada Isa, ‘Tuan Guru, bilakah semua perkara ini akan terjadi? Apakah alamat-alamatnya bahawa masanya sudah tiba?’

8Isa berkata, ‘Berjaga-jagalah supaya kamu tidak terpedaya oleh orang. Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, “Akulah dia,” dan “Masanya sudah tiba.” Janganlah kamu ikut mereka.9Apabila kamu mendengar tentang peperangan dan pemberontakan, janganlah kamu ketakutan. Peristiwa-peristiwa ini akan berlaku terlebih dahulu tetapi ini tidaklah bererti bahawa akhir zaman telah sampai.’

10Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Bangsa akan berperang dengan bangsa dan kerajaan dengan kerajaan;11gempa bumi dan kebuluran serta wabak yang dahsyat akan terjadi di beberapa tempat. Perkara-perkara dahsyat dan alamat-alamat yang hebat akan kelihatan di langit.

12‘Tetapi sebelum segala perkara yang disebut ini berlaku, kamu akan ditawan dan dianiayai. Kamu akan didakwa di majlis saumaah-saumaah dan dipenjarakan. Kamu akan didakwa di hadapan raja-raja dan gabenor-gabenor kerana nama-Ku.13Inilah peluang bagimu untuk memberitakan perkhabaran baik.14Jadi, teguhkanlah hatimu supaya tidak bimbang bagaimana hendak membela diri15kerana Aku akan memberimu kata-kata dan kebijaksanaan yang tidak dapat dinafikan oleh seorang pun daripada musuh-musuhmu.16Kamu akan dikhianati oleh ibu bapamu, adik-beradikmu, sanak saudaramu dan sahabat handaimu. Mereka akan membunuh beberapa orang di antara kamu17dan kamu akan dibenci oleh semua kerana-Ku.18Tetapi sehelai rambutmu pun tidak akan hilang.19Bertahanlah, keteguhan hatimu akan menyelamatkan kamu.

Isa memperkatakan keruntuhan Baitulmaqdis

20‘Apabila kamu melihat kota Baitulmaqdis terkepung oleh tentera-tentera, ketahuilah kamu bahawa kebinasaannya telah hampir.21Pada masa itu mereka yang berada di jajahan Yudea hendaklah melarikan diri ke gunung; mereka yang ada di dalam kota hendaklah meninggalkannya dan mereka yang ada di luar kota janganlah masuk ke kota itu.22Inilah hari-hari hukuman apabila segala perkara yang tersurat dalam Kitab Suci akan terjadi.23Malangnya bagi perempuan yang mengandung atau ibu yang menyusui anak pada masa itu! Kesengsaraan yang teruk akan melanda bumi dan kemurkaan akan menimpa bangsa ini.24Mereka akan dibunuh dengan pedang dan ada pula yang akan dibawa ke negeri lain sebagai orang tawanan. Kota Baitulmaqdis akan diinjak-injak oleh bangsa-bangsa asing sehingga tamat tempoh yang ditetapkan untuk mereka.

Kedatangan Putera Insan

25‘Alamat akan kelihatan pada matahari, bulan dan bintang-bintang. Di muka bumi ini semua bangsa kelak sengsara dan bingung akan deru serta gelora lautan.26Sementara menantikan apa yang akan datang ke muka bumi, manusia akan jatuh pengsan kerana takut dan bimbang terhadap apa yang akan terjadi di dunia. Cakerawala di angkasa lepas akan terpesong daripada peredarannya.27Lalu mereka akan melihat Putera Insan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar.28Apabila segala perkara ini mula terjadi, teguhkanlah hatimu dan angkat kepalamu kerana masa penyelamatanmu telah hampir tiba.’

29Isa menceritakan suatu ibarat kepada mereka: ‘Tengoklah pokok ara dan segala pokok kayu yang lain!30Apabila pokok itu penuh menguntum, kamu tahu bahawa musim panas hampir tiba.31Demikian juga apabila kamu melihat segala perkara ini terjadi, ketahuilah bahawa kerajaan Allah hampir tiba.

32‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sebelum orang zaman ini mati, segala perkara itu akan terjadi.33Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku berkekalan.

Perlunya berjaga-jaga

34‘Berjaga-jagalah! Janganlah leka dengan kesia-siaan dan kemabukan serta kekhuatiran terhadap kehidupan duniawi sehingga kamu tidak bersedia menghadapi hari itu yang datang dengan tidak disangka-sangka.35Hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua manusia di seluruh muka bumi ini.36Kamu hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu diteguhkan untuk menghadapi segala perkara yang akan terjadi itu lalu dapat berdiri di hadirat Putera Insan.’

37Pada siang hari Isa mengajar di dalam rumah ibadat. Pada waktu malam Dia keluar dari kota itu dan bermalam di udara lapang di Bukit Zaitun.38Pada pagi-pagi lagi orang ramai pergi ke rumah ibadat untuk mendengar Dia.

22

Komplot menentang Isa

1Perayaan ‘Roti Yang Tidak Beragi’, iaitu perayaan Paska telah menjelang.2Ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Isa secara diam-diam kerana mereka takut akan orang ramai itu.3Kemudian, Iblis memasuki Yudas Iskariot, salah seorang daripada dua belas pengikut Isa.4Lalu Yudas pergi kepada ketua-ketua imam dan pengawal rumah ibadat untuk membincangkan bagaimana dia dapat menyerahkan Isa kepada mereka.5Mereka gembira lalu berjanji memberikan wang kepadanya.6Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang yang baik untuk menyerahkan Isa kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.

Isa bersedia untuk makan jamuan Paska

7Tibalah Perayaan ‘Roti Yang Tidak Beragi’. Pada hari itu domba korban harus disembelih untuk jamuan Paska.8Isa menyuruh Petrus dan Yahya, ‘Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.’

9Mereka bertanya kepada Isa, ‘Di manakah Engkau hendak kami sediakan jamuan itu?’

10Isa menjawab, ‘Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang menjunjung sebuah buyung air akan bertemu dengan kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya11lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, “Guru menyuruh kami bertanya: Di manakah bilik tempat Aku hendak makan jamuan Paska bersama pengikut-pengikut-Ku?”12Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah bilik besar yang lengkap dengan perabot di tingkat atas. Di situlah kamu sediakan jamuan Paska.’

13Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan oleh Isa, lalu mereka menyediakan jamuan Paska.

Perjamuan Tuhan

14Apabila tiba masanya, Isa pun duduk bersama pengikut-pengikut yang dua belas itu.15Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama kamu sebelum Aku menderita.16Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paska dinyatakan di dalam kerajaan Allah.’

17Setelah itu, Isa mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, ‘Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu.18Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air buah anggur lagi sehingga kerajaan Allah datang.’

19Lalu Isa mengambil roti kemudian mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia memecah-mecahkan roti itu lalu memberikannya kepada pengikut-pengikut-Nya, sambil berkata, ‘Inilah tubuh-Ku yang diberikan untukmu. Berbuatlah sedemikian demi mengingati-Ku.’

20Begitu juga setelah makan, Dia mengambil cawan minuman dan berkata, ‘Cawan ini ialah perjanjian baru yang dimateraikan dengan darah-Ku yang dicurahkan untukmu.21Tengoklah! Orang yang mengkhianati Aku ada bersama-sama di meja ini.22Putera Insan akan mati seperti yang ditetapkan, tetapi malangnya orang yang mengkhianati-Nya!’23Mereka mula bertanya-tanya sesama sendiri siapakah di antara mereka yang akan berbuat demikian.

Perselisihan tentang kebesaran

24Satu perselisihan timbul di kalangan pengikut itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar.25Isa berkata kepada mereka, ‘Di dunia raja-raja berkuasa atas rakyat mereka, dan golongan pemerintah digelar pembawa kebajikan kepada rakyat.26Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar antara kamu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan ketua harus menjadi seperti hamba.27Siapakah yang lebih besar - orang yang duduk makan atau hamba yang melayan? Bukankah orang yang duduk makan itu? Tetapi Aku ini antara kamu sebagai yang melayan.28Kamu bersama Aku dalam segala penderitaan-Ku.29Aku memberikan hak kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku.30Kamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk menghakimi dua belas suku Israel.

Ramalan Isa tentang penyangkalan Petrus

31‘Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah meminta izin untuk menguji kamu semua seperti petani memisahkan gandum daripada sekam.32Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.’

33Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.’

34Isa menjawab, ‘Aku berkata kepadamu, Petrus, ayam tidak akan berkokok pada hari ini sehingga kamu berkata bahawa kamu tidak mengenal-Ku sebanyak tiga kali.’

Dompet, beg dan pedang

35Isa berkata kepada mereka, ‘Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?’

Mereka menjawab, ‘Satu pun tidak.’

36Isa berkata lagi, ‘Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah.37Aku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: “Dia tergolong bersama dengan penjahat.” Ini kerana apa yang tersurat tentang Aku akan berlaku.’

38Pengikut-pengikut itu berkata, ‘Tengoklah Junjungan, di sini ada dua bilah pedang!’

Isa berkata, ‘Cukuplah!’

Isa berdoa

39Isa meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Pengikut-pengikut-Nya pergi bersama Dia.40Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, ‘Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.’41Isa pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa.42‘Ya Bapa, jikalau berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.’43Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya.44Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.

45Isa bangun daripada berdoa, dan balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Didapati-Nya mereka tertidur kerana sangat sedih.46Dia berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.’

Isa ditangkap

47Ketika Isa masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang daripada dua belas pengikut-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Isa untuk mencium-Nya.48Isa berkata kepadanya, ‘Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Putera Insan?’

49Apabila pengikut-pengikut Isa melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Isa, ‘Junjungan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?’50Salah seorang daripada mereka menyerang hamba imam agung dan memutuskan telinga kanannya.

51Tetapi Isa berkata, ‘Biarkanlah mereka.’ Lalu Isa menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya.

52Kemudian Isa berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal rumah ibadat dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, ‘Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun?53Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam rumah ibadat, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.’

Petrus menyangkal Isa

54Setelah menangkap Isa, mereka membawa Dia ke rumah imam agung. Petrus pun mengikut dari jauh.55Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka.56Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, ‘Orang ini juga bersama Dia.’

57Tetapi Petrus menyangkal katanya, ‘Perempuan, aku tidak mengenal Dia!’

58Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, ‘Ya, engkau salah seorang daripada mereka itu.’

Tetapi Petrus menjawab, ‘Bukan, aku bukan!’59Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, ‘Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.’

60Tetapi Petrus berkata, ‘Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.’ Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok.61Junjungan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Junjungan kepadanya bahawa, ‘Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.’62Petrus pun keluar lalu menangis dengan sangat kesalnya.

Isa diejek dan dipukul

63Orang yang mengawal Isa mengejek-ngejek dan memukul Dia.64Mereka menutupi mata Isa dan bertanya, ‘Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah nubuat!’65Mereka mengatakan banyak lagi perkara yang menghina kepada-Nya.

Isa di hadapan Majlis Agama

66Pada pagi hari, tua-tua masyarakat, ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat bermesyuarat, dan Isa dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata,67‘Jikalau Engkau al-Masih, katakanlah kepada kami.’

Isa berkata kepada mereka, ‘Jikalau Aku mengatakan kepadamu, kamu tidak percaya juga.68Dan jikalau Aku bertanya kepadamu, kamu juga tidak menjawab.69Tetapi mulai sekarang, Putera Insan akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.’

70Mereka semua bertanya, ‘Kalau begitu, Engkaulah Putera Allah?’

Isa berkata kepada mereka, ‘Benarlah katamu.’

71Mereka berkata, ‘Apa perlunya saksi lagi? Kita sendiri telah mendengar apa yang dikatakan-Nya!’

23

Isa di hadapan Pilatus

1Semua anggota Majlis Agama bangun lalu membawa Isa menghadap Pilatus.2Mereka mula menuduh Dia, ‘Kami telah mendapati orang ini menyesatkan bangsa kami, menghasut orang supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan mengaku diri-Nya al-Masih, seorang raja!’

3Pilatus bertanya kepada Isa, ‘Engkaukah raja orang Yahudi?’ Isa menjawab, ‘Begitulah seperti katamu.’

4Pilatus berkata kepada ketua-ketua imam dan orang ramai itu, ‘Aku tidak mendapati-Nya bersalah.’

5Tetapi mereka semakin mendesak, ‘Dia menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak dengan ajaran-Nya. Dia memulakannya di Galilea dan sekarang telah sampai ke tempat ini.’

Isa di hadapan Herodes

6Setelah Pilatus mendengar hal ini, dia bertanya sama ada Isa seorang Galilea.7Ketika Pilatus mengetahui Isa berasal dari jajahan pemerintahan Herodes, dia menyuruh supaya Isa dibawa kepada Herodes kerana pada masa itu Herodes ada di kota Baitulmaqdis.

8Apabila Isa dibawa kepada Herodes, dia sangat sukacita. Sudah lama dia hendak bertemu dengan Isa kerana dia telah mendengar banyak hal tentang Isa. Lagi pun, dia berharap dapat menyaksikan Isa melakukan mukjizat.9Jadi, Herodes mengemukakan banyak soalan kepada Isa tetapi Isa tidak menjawab sepatah kata pun.10Ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat tampil ke hadapan dan melemparkan tuduhan terhadap Isa.11Herodes dan askar-askarnya menghina Isa dan sebagai ejekan mengenakan pakaian indah pada-Nya lalu menghantar-Nya kembali kepada Pilatus.12Semenjak hari itu, Herodes dan Pilatus bersahabat; mereka bermusuhan sebelum itu.

Isa dijatuhi hukuman mati

13Pilatus memanggil ketua-ketua imam, para pemimpin masyarakat dan orang ramai14lalu berkata kepada mereka, ‘Kamu telah membawa orang ini kepadaku dan mengatakan Dia menyesatkan rakyat. Aku telah menyoal-Nya di hadapanmu dan aku tidak mendapati Dia bersalah atas satu pun tuduhanmu.15Herodes pun tidak mendapati Dia bersalah, kerana Dia dihantar kembali kepada kami. Tiada apa-apa yang dilakukan-Nya sehingga Dia patut dijatuhi hukuman mati.16Oleh itu, aku akan menyebat-Nya, kemudian membebaskan-Nya.’17Pada setiap perayaan Paska Pilatus akan membebaskan salah seorang tahanan bagi mereka.

18Tetapi semua orang berteriak, ‘Bunuh Dia! Bebaskan Barabas bagi kami.’19(Barabas telah dipenjarakan kerana terlibat dalam satu rusuhan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.)

20Pilatus hendak membebaskan Isa. Oleh itu, dia berseru kepada orang ramai sekali lagi.21Tetapi orang ramai itu berteriak-teriak lagi, ‘Salibkan Dia! Salibkan Dia!’

22Pada kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka: ‘Apakah kesalahan-Nya? Aku tidak mendapati Dia bersalah sehingga patut dikenakan hukuman mati. Oleh sebab itu, aku akan menyebat-Nya dan kemudian membebaskan-Nya.’

23Tetapi orang ramai itu terus-menerus berteriak dengan kuat supaya Isa disalib. Akhirnya, mereka berjaya.24Pilatus memutuskan supaya tuntutan orang ramai itu dilaksanakan.25Dia membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terlibat dalam rusuhan dan pembunuhan, tetapi Isa diserahkannya untuk diperlakukan menurut kehendak mereka.

Isa disalib

26Ketika askar-askar membawa Isa ke tempat orang disalib, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simon. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Isa dan berjalan di belakang-Nya.27Ramai orang mengikut Isa; antara mereka beberapa orang perempuan yang menangisi dan meratapi-Nya.28Isa berpaling kepada mereka lalu berkata, ‘Kaum perempuan Baitulmaqdis, janganlah tangisi Aku melainkan tangisilah dirimu dan anak-anakmu sendiri.29Masanya akan datang kelak apabila orang akan berkata, “Diberkatilah perempuan yang tidak pernah mengandung, melahirkan dan menyusui anak!”30Pada masa itulah

‘ “mereka akan berkata kepada gunung-gunung,

‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit-bukit,

‘Timbusi kami!’ ”

31‘Jikalau perbuatan begini dilakukan mereka terhadap pokok kayu yang masih hijau, apatah lagi terhadap pokok yang kering?’

32Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Isa.33Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, ‘Tengkorak,’ mereka pun menyalib Isa dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.34Isa berkata, ‘Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.’ Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi.

35Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-ngejek-Nya, ‘Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jikalau Dia sesungguhnya al-Masih yang dipilih oleh Allah.’

36Askar-askar juga mengejek-ngejek Isa. Mereka mendekati-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya37lalu berkata, ‘Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah Diri-Mu.’

38Pada sebelah atas kayu salib Isa tertulis kata-kata: ‘Inilah Raja Orang Yahudi.’

39Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula menghina Isa. Dia berkata, ‘Bukankah Engkau al-Masih? Selamatkanlah Diri-Mu dan kami!’

40Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, ‘Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati.41Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.’

42Dia berkata kepada Isa, ‘Ya Isa, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.’

43Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.’

Kewafatan Isa

44Ketika itu kira-kira pukul dua belas tengah hari, kegelapan menyelubungi seluruh negeri itu sehingga pukul tiga petang kerana matahari gerhana.45Tirai yang tergantung di dalam rumah ibadat pun koyak terbelah dua.46Isa berseru dengan suara yang kuat, ‘Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!’ Setelah Isa berkata demikian, Dia pun wafat.

47Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, ‘Sesungguhnya, orang ini orang yang benar.’48Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka.49Semua sahabat Isa, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.

Isa dimakamkan

50Terdapat seorang yang bernama Yusuf. Dia berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang yang baik dan berakhlak tinggi. Dia juga sedang menantikan kerajaan Allah.51Walaupun seorang anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan majlis itu.52Dia pergi menghadap Pilatus untuk meminta jenazah Isa.53Kemudian, Yusuf menurunkan jenazah itu daripada salib, mengkafankannya lalu membaringkannya di dalam sebuah makam yang dipahat pada bukit batu. Makam itu belum pernah digunakan.54Hari itu ialah hari Jumaat, dan hari Sabat hampir bermula.

55Perempuan-perempuan yang telah mengikut Isa dari Galilea pergi bersama Yusuf untuk melihat makam itu dan bagaimana jenazah Isa diletakkan di dalamnya.56Kemudian, mereka pulang lalu menyediakan rempah-rempah yang harum dan minyak wangi-wangian untuk jenazah Isa. Pada hari Sabat mereka berehat mengikut hukum Taurat.

24

Kebangkitan Isa

1Awal-awal lagi pada hari Ahad, perempuan-perempuan itu pun pergi ke makam dengan membawa rempah-rempah harum yang telah disediakan mereka.2Mereka mendapati batu penutup makam itu telah digulingkan dari makam.3Apabila mereka masuk ke dalam, jenazah Isa tiada lagi.4Mereka berdiri di situ dan berasa kebingungan tentang perkara ini. Tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian berkilau-kilauan, berdiri di sisi mereka.5Perempuan-perempuan itu sangat takut lalu sujud. Kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu mencari Dia yang hidup di antara orang mati?6Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit! Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea:7“Putera Insan harus diserahkan kepada orang berdosa. Dia akan disalib dan bangkit pada hari yang ketiga.” ’8Mereka pun teringatlah akan kata-kata Isa.

9Sekembali mereka dari makam itu, mereka memberitahu segala perkara ini kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain.10Mereka, iaitu Maryam orang Magdala, Yohanah, Maryam, ibu Yakobus dan perempuan-perempuan yang lain mengatakan segala perkara itu kepada rasul-rasul itu.11Tetapi mereka itu menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut lalu tidak mempercayai mereka.12Tetapi Petrus bangun dan berlari ke makam itu. Dia membongkok ke dalam lalu nampak kain kafan sahaja di situ. Dia pulang dengan hairan sambil memikirkan apa yang telah berlaku.

Perjalanan ke kampung Emaus

13Pada hari itu juga dua orang antara pengikut Isa sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emaus, kira-kira tujuh batu jauhnya dari Baitulmaqdis.14Kedua-duanya berbual-bual tentang segala yang telah berlaku itu.15Ketika mereka berbual-bual dan berbincang, Isa sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama.16Mereka nampak Isa tetapi mereka tidak mengenali Dia.

17Isa berkata kepada mereka, ‘Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?’

Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung.

18Seorang daripadanya yang bernama Kleopas bertanya kepada Isa, ‘Engkaukah satu-satunya orang di Baitulmaqdis yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?’

19Isa berkata, ‘Apakah yang telah berlaku?’

Mereka menjawab, ‘Segala perkara yang berlaku kepada Isa, orang Nasaret. Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa dalam apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya.20Ketua-ketua imam dan para pemimpin kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalib-Nya.21Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahan lagi, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku.22Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke makam pada pagi tadi.23Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Dia hidup.24Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke makam itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Dia.’

25Kemudian, Isa berkata kepada mereka, ‘Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya kamu percaya akan segala kata nabi-nabi!26Bukankah al-Masih harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?’27Lalu Isa menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam semua kitab mulai dari kitab-kitab Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain.

28Apabila mereka menghampiri kampung yang dituju mereka itu, Isa kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan.29Tetapi kedua-dua orang itu menjemput-Nya dengan berkata, ‘Bermalamlah dengan kami kerana hari hampir senja dan mulai gelap.’ Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka.

30Ketika Dia duduk untuk makan bersama mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka.31Pada ketika itu juga mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali Dia. Lalu Dia lenyap daripada pandangan mereka.32Mereka berkata satu sama lain, ‘Bukankah hati kita meluap-luap ketika Dia berkata-kata kepada kita dalam perjalanan tadi dan semasa Dia menerangkan Kitab Suci kepada kita?’

33Mereka terus bangun dan kembali ke Baitulmaqdis. Mereka mendapati sebelas pengikut itu berkumpul dengan pengikut yang lain.34Mereka berkata, ‘Sesungguhnya, Junjungan telah bangkit. Dia menampakkan diri-Nya kepada Simon!’35Lalu kedua-dua orang itu menceritakan apa yang telah berlaku dalam perjalanan mereka dan bagaimana mereka telah mengenali Isa semasa Dia membahagikan roti.

Isa menunjukkan diri-Nya kepada para pengikut-Nya

36Semasa mereka berkata-kata tentang segala perkara ini, Isa sendiri berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata kepada mereka, ‘Sejahteralah kamu!’

37Mereka terkejut dan berasa sangat takut kerana menyangka mereka melihat hantu.38Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Apakah sebabnya kamu takut? Mengapakah hatimu ragu-ragu?39Tengoklah tangan dan kaki-Ku. Inilah Aku. Sentuhlah Aku dan tengok. Hantu tidak berdaging dan bertulang sebagaimana yang kamu lihat ada pada-Ku.’

40Setelah Dia berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka.41Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan takjub. Isa pun bertanya kepada mereka, ‘Adakah kamu mempunyai makanan di sini?’42Mereka memberi Dia sepotong ikan yang telah dimasak,43lalu Dia mengambilnya dan makan di hadapan mereka semua.

44Kemudian, Dia berkata kepada mereka, ‘Inilah perkara-perkara yang telah Aku katakan kepadamu semasa Aku masih bersamamu dahulu: Segala perkara yang tersurat tentang Aku dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan Kitab Zabur pasti akan berlaku.’

45Lalu Dia membuka pintu pemahaman mereka supaya mereka mengerti maksud Kitab Suci.46Dia berkata lagi, ‘Demikianlah yang tersurat: Bahawa al-Masih harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga,47dan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Baitulmaqdis.48Kamulah saksi segala perkara ini.49Dan Aku akan mengurniakan pemberian yang dijanjikan oleh Bapa-Ku kepadamu. Tetapi, tunggulah di kota ini sehingga kamu diperlengkapi dengan kuasa daripada Allah.’

Isa diangkat ke syurga

50Kemudian Isa membawa pengikut-pengikut-Nya ke luar kota sehingga Baitani. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka.51Ketika Dia memberkati mereka, Dia diangkat ke syurga lalu meninggalkan mereka.52Pengikut-pengikut-Nya menyembah-Nya dan kembali ke Baitulmaqdis dengan penuh kegembiraan.53Mereka menumpukan masa di rumah ibadat untuk memuji Allah.

Teks dari Kitab Suci Zabur dan Injil, edisi Bahasa Malaysia, hak cipta terpelihara © 2008 Pengamat Kitab Mulia, Jakarta, Indonesia.